[VIDEO] 'Aquaman' KL bergadai nyawa cuba selamatkan remaja lemas di Johor


  • Tular
  • Rabu, 25 Jan 2023

Tangkap layar kejadian remaja lemas di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi, Johor.

PERCUTIAN sebuah keluarga di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi, Johor bertukar tragedi apabila salah seorang ahli keluarga lemas ketika mandi di pantai tersebut.

Mangsa yang berusia 17 tahun bersama seorang lagi rakannya dilaporkan lemas ketika mandi manda di pantai peranginan tersebut.

Insiden itu sempat dirakamkan pengunjung di pantai tersebut termasuk tindakan seorang lelaki yang dikenali sebagai Fairuz Shakinah cuba menyelamatkan mangsa.

Fairuz yang tidak menjangkakan insiden itu, difahamkan terus bertindak menyelamatkan mangsa yang lemas di tengah laut dengan membawa sebuah pelampung.

Turut disaksikan beberapa individu lain, kejadian terbabit meraih perhatian ramai susulan tindakan berani yang dilakukan individu dari Kuala Lumpur itu.

Meskipun berjaya membawa mangsa hingga ke darat, remaja berkenaan dilaporkan meninggal dunia sebelum diberikan rawatan.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora dalam satu kenyataan.

Menurut Hussin, kaunter aduan balai polis Bayu Damai menerima makluman dari orang ramai mengenai kejadian tersebut dan sepasukan anggota telah digerakkan untuk mengawal situasi di lokasi kejadian.

"Orang awam yang berada di lokasi kejadian telah membantu menyelamatkan mangsa pertama namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di permukaan.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Bahagian Forensik, Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa remaja lelaki berusia 16 tahun yang hilang ditemukan pada Isnin dalam keadaan terapung di dalam air laut kawasan tempat terakhir mangsa dilaporkan hilang.

Operasi pencarian telah dihentikan dan Majoriti masih berusaha mendapatkan Fairuz Sakinah untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai tindakan beraninya itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram