[VIDEO] Suspek wanita diburu, tipu peniaga guna duit palsu RM20 di Sibu


  • Tular
  • Selasa, 31 Jan 2023

Tangkap layar salah seorang peniaga yang mengalami kerugian selepas ditipu dengan duit palsu.

BEBERAPA peniaga premis di pasar Tamu Sibujaya, Sibu, Sarawak mengalami kerugian selepas mereka ditipu dengan duit palsu bernilai RM20 oleh seorang wanita pada Ahad.

Lebih 14 orang peniaga dilaporkan turut berhadapan dengan penipuan tersebut selepas kesemuanya difahamkan menerima wang daripada wanita berkenaan.

Menggunakan modus operandi yang sama, duit kertas RM20 yang digunakan didakwa palsu susulan permukaan serta cetakan pada kertas itu dikatakan berbeza daripada kebiasaannya.

Salah seorang mangsa memuat naik video berhubung perkara itu di Facebook dan menerima lebih 1,000 perkongsian setakat ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Sibu, Sarawak, Superintendan Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataan berkata, seramai 14 peniaga telah membuat laporan berhubung penerimaan duit palsu tersebut.

"Mangsa difahamkan menerima duit daripada seorang perempuan berusia lewat 40-an yang dilihat bersama dengan anak perempuannya ketika kejadian.

"Suspek membayar dengan wang kertas RM20 namun selepas beberapa jam kemudian, salah seorang peniaga mendapati kualiti kertas serta dakwat tulisan pada duit itu agak berbeza.

"Duit itu telah dihantar ke Bank Negara untuk siasatan lanjut," katanya.

Identiti suspek gagal dirakamkan oleh mana-mana pihak dan kes tersebut telah disiasat di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan kerana menggunakan wang palsu atau memalsukan wang kertas dalam perdagangan.

Orang ramai dinasihati tidak melakukan perkara sama dengan perbuatan itu merupakan kesalahan undang-undang dan boleh mendatangkan kerugian pada pihak yang menerima. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram