[VIDEO] Acu parang dekat leher tauke kedai runcit di Kuching, perompak bertopeng sempat larikan RM900


  • Tular
  • Selasa, 31 Jan 2023

Tangkap layar perompak mengacu parang pada leher seorang lelaki di sebuah premis kedai dekat Kuching, Sarawak pada Isnin.

SEORANG lelaki bertopeng diburu polis susulan kegiatan samun yang dijalankan di sebuah premis niaga dekat Jalan Nanas, Kuching, Sarawak pada Isnin.

Ketika kejadian, suspek dilihat mengacu sebilah parang pada seorang lelaki dipercayai pemilik kedai berkenaan di kaunter bayaran.

Tersentak dengan situasi tersebut, mangsa kemudiannya terus mengambil sejumlah wang dari mesin duit dan menyerahkan kepada suspek seperti yang diarahkan.

Insiden itu dirakamkan menerusi kamera litar tertutup CCTV dan menerima lebih 2000 jumlah tontonan di Facebook.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah mengesahkan kejadian tersebut.

“Laporan kes disahkan dan diterima pada 30 Januari 2023. Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata pisau,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketika kejadian, suspek dilihat merangkul leher mangsa sambil mengacu sebilah parang serta mengertak mangsa untuk menyerahkan wang yang terdapat pada mesin wang.

Suspek kemudiannya segera beredar dari kedai berkenaan sejurus mangsa menyerahkan wang dan premis itu dianggarkan mengalami kerugian lebih RM900.

Belum ada sebarang tangkapan dilaporkan berlaku dan polis sedang memburu suspek. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram