Selain parti dan ahli, 3 pihak lain terkesan akibat akaun Bersatu dibeku


  • Politik
  • Khamis, 02 Feb 2023

Beberapa pihak dijangka terkesan dengan pembekuan akaun bank parti Bersatu.

AKAUN bank milik parti Bersatu telah dibekukan oleh Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu.

Pembekuan itu disahkan oleh Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki yang berkata, perkara itu mempunyai kaitan dengan isu penyelewengan dana RM600 bilion yang digunakan ketika negara berhadapan pandemik Covid-19.

Susulan pembekuan tersebut, beberapa pihak dijangka bakal terkesan dengan perkara itu dengan parti Bersatu sebelum ini difahamkan banyak melibatkan kaum belia semasa pilihan raya ke 15 (PRU15) sebelum ini.

Tiga pihak yang dijangka bakal terkesan dengan situasi itu adalah jentera parti, golongan pempengaruh di media sosial dan juga artis selebriti.

jente

Jentera parti

Menjelang pilihan raya, jentera parti merupakan antara yang paling sibuk dalam menjalankan usaha untuk mendapatkan sokongan rakyat terhadap parti yang diwakili.

Menyebarkan ideologi dan manifesto menerusi poster dan bendera parti di kawasan yang dipertandingkan, bajet bagi kesemua bahan yang digunakan agak tinggi dengan jumlah bendera parti sahaja sudah menjangkau ribuan ringgit.

Di sebalik aktiviti serta acara yang dijalankan sesebuah parti politik, kos dan dana yang digunakan semestinya disalurkan daripada akaun bank parti yang diwakili dengan kestabilan ekonomi sesebuah parti itu menjadi taruhan dalam perkara ini.

Susulan hal itu, pembekuan bank parti Bersatu dilihat bakal menjejaskan usaha jentera politik dalam membuat hebahan serta rancangan untuk menjulang bendera parti diwakili.

sos

Pempengaruh media sosial

Perikatan Nasional merupakan antara parti yang bijak mendapatkan sokongan golongan belia apabila menggunakan pempengaruh media sosial sebagai penyokong mereka.

Tidak dinafikan, mungkin ada sesetengah individu sememangnya menaruh kepercayaan dan harapan terhadap parti berkenaan namun, ada pihak mendakwa sesetengah daripada mereka dibayar untuk berbuat demikian.

Situasi itu boleh dilihat menerusi situasi yang dimainkan oleh sesetengah pihak apabila dikatakan sengaja menggunakan golongan pempengaruh untuk menarik minat pengundi-pengundi muda.

Dalam pada itu, timbul pula dakwaan sebahagian daripada mereka masih belum menerima bayaran dan pembekuan akaun parti tersebut nyata mengundang kerisauan mereka yang terlibat.

aia

Artis selebriti

Pasangan pelakon dan usahawan Aeril Zafrel dan Wawa Zainal menjadi bahan kecaman netizen di media sosial susulan video TikTok dimuat naik memaparkan pasangan itu mengenakan baju Perikatan Nasional.

Ia sekaligus membuatkan netizen tampil memberikan kritikan dan juga kecaman bertubi-tubi buat pelakon berkenaan yang dikatakan menerima bayaran daripada parti tersebut.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan itu, Aeril berkata, ia dilakukan bertujuan untuk mengikut trend semasa dan langsung tiada kaitan dengan kempen politik berbayar.

Terbaharu, namanya sekali lagi dikaitkan dengan sebuah parti politik susulan tindakannya yang mahu membina sebuah masjid di Rengit, Johor.

Namun, pelakon itu sekali lagi menafikan dakwaan tersebut dengan menyatakan perjumpaan yang diadakan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit dari Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hanyalah atas tujuan permohonan kebenaran sahaja.

Justeru, pembekuan akaun bank Bersatu nyata mengundang seribu satu spekulasi berkaitan pihak yang mungkin terkesan dengan situasi dihadapi.

Beberapa pemimpin Bersatu di peringkat negeri juga dilaporkan tidak bimbang dengan situasi itu, selain menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk melakukan siasatan telus. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram