TULAR di laman Twiter apabila seorang individu dikenali sebagai @SamuelManokaran memuat naik insiden kelewatan rawatan yang diterima oleh mendiang arwah bapanya di Hospital Serdang, Selangor.
Kejadian itu difahamkan berlaku pada Ahad lalu ketika mendiang bapanya yang dikhabarkan mengalami serangan jantung terpaksa menunggu selama 17 jam sebelum diberikan katil dan menerima rawatan.
Lebih memilukan, pesakit itu kemudiannya dilaporkan meninggal dunia akibat kelewatan pihak hospital memberikan rawatan dan insiden itu mengundang pelbagai respons negatif di laman media.
Ciapan itu menerima pelbagai komen daripada warganet yang rata-ratanya turut berkongsi pengalaman serupa apabila pernah mengalami situasi getir itu.
IskandarZulfi berpendapat, hospital di bawah naungan kerajaan sememangnya menghadapi masalah dari segi katil pesakit dan rawatan yang lewat.
"Ayah mertua saya juga pernah mengalami nasib sama, meninggal di Hospital Melaka sebab tak ada katik kosong, itu terjadi pada 2020 dan sampai sekarang masih ada lagi kes macam ni rupanya," katanya.
"Ayah saya juga pernah meninggal di Hospital Ampang sebab beratur terlalu lama untuk diberikan rawatan," dakwa drelocque.
Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Indera Sha'ari Ngadiman dalam satu kenyataan berkata, perkara itu sedang di bawah siasatan pihak hospital dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).
"Kes tersebut melibatkan seorang pesakit yang telah datang ke Jabatan Kecemasan Hospital Serdang pada 26 Januari lepas dan rawatan telah diberikan oleh pasukan kecemasan di wad kecemasan.
"Beliau juga telah dirujuk ke Jabatan Kardiologi untuk rawatan selanjutnya sebelum kemudiannya dipindahkan ke Wad Kardiologi selepas terdapat kekosongan katil.
"Penerangan dan pemeriksaan telah dijalankan terhadap pesakit oleh pakar perubatan yang bertugas.
"Secara amnya, Jabatan Kecemasan dan Kardiologi telah menjalankan tugasan dengan baik meskipun berdepan dengan jumlah peskit yang ramai," katanya dalam kenyataan itu.
Susulan isu terbabit, ujarnya, Hopital Serdang dikhabarkan akan kekal komited untuk memberikan yang terbaik kepada setiap pesakit dan pihak hospital juga akan berhubung lanjut dengan pihak keluarga berkenaan untuk perbincangan mengenai kes tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram