Masjid Al-Ghazali hasil wakaf mangsa MH17, perlukan lebih RM1.5 juta untuk ubah suai


  • Massa
  • Rabu, 01 Feb 2023

Masjid Al-Ghazali hasil sumbangan wakaf mangsa tragedi MH17 telah mula beroperasi pada Mei tahun lepas. — Facebook/Masjid Al Ghazali

MASJID Al-Ghazali, Kuching, Sarawak dibina atas hasil wakaf wang pampasan enam mangsa tragedi pesawat MAS MH17 yang terhempas pada 2014.

Mula beroperasi sepenuhnya pada 13 Mei 2022, kos pembinaan Masjid Al-Ghazali dengan reka bentuk serba moden berwarna kelabu yang terletak di Jalan Depo, Petra Jaya, Kuching, Sarawak ini dianggarkan bernilai RM3.5 juta.

Masjid itu mampu memuatkan sehingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa manakala dewan solat utama pula mampu mengisi 300 orang.

Namun, pihak pengurusan masjid itu dikhabarkan mahu mengubah suai reka bentuk masjid berkenaan bagi membolehkan lebih ramai jemaah untuk hadir menunaikan solat Jumaat ketika ini.

Atas permintaan ramai, kapasiti masjid perlu ditambah segera bagi menyediakan ruang lebih besar buat orang ramai dengan ketika ini, bantuan yang diterima hanyalah dari satu pihak sahaja iaitu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Sarawak, (YADIM).

jama

Ruang Masjid Al-Ghazali yang hanya mampu memuatkan 1,000 orang dalam satu masa. — Facebook/Masjid Al Ghazali

Menurut pengerusi masjid, Sumardi Ghazali, 50, bantuan yang diterima masih belum mencukupi dengan kos yang diperlukan agak tinggi untuk mengubah suai masjid.

"Setakat ini kami telah menerima dana bantuan daripada YADIM tetapi masih berkurangan dan belum mencukupi.

"Lebih kurang RM1.5 juta lagi yang diperlukan oleh pengurusan untuk menambah kapasiti bagi jemaah muslimin dan muslimat.

"Ada juga permintaan daripada pihak jemaah untuk mengadakan majlis kahwin dan nikah di masjid ini, jadi sebuah dewan juga perlu dibina untuk menampung jumlah pengunjung untuk majlis seperti itu.

"Selain daripada majlis perkahwinan, dewan itu juga mungkin boleh dijadikan sebagai bilik kelas mengaji dan ceramah, jadi memang banyak keperluan yang boleh dilaksanakan," katanya kepada Majoriti.

Ditanya mengenai perkembangan terkini masjid, Sumardi berkata, pihaknya sedang giat menjalankan persiapan untuk sebuah karnival dakwah yang akan diadakan pada 18 dan 19 Februari ini.

Menurutnya, pelbagai acara yang akan dijalankan dengan majlis itu akan dilancarkan oleh wakil daripada Kementerian Hal Ehwal Islam di Sarawak.

"Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan antaranya, berzanji, pertandingan nasyid, ceramah daripada ustaz terkemuka dan banyak lagi.

"Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan karnival itu nanti dengan segala maklumat akan diberitahu kemudian.

Bagi mereka yang mahu menghulurkan bantuan ataupun sumbangan, boleh kemukakan kepada pihak pengurusan masjid pada nombor yang tertera di laman Facebook rasmi Masjid Al-Ghazali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram