[VIDEO] Video lelaki mangsa dengki bisnes di Dungun raih simpati ramai, si isteri kecut perut menipu mengaku aksi 'content' semata-mata


  • Tular
  • Rabu, 25 Jan 2023

Tangkap layar insiden sabotaj pecah tingkap lori yang berlaku di Dungun Terengganu baru-baru ini.

SEBUAH video tular yang memaparkan insiden sabotaj gara-gara hasad dengki dalam perniagaan di Dungun, Terengganu sebelum ini difahamkan hanyalah satu rekaan semata-mata.

Menurut pemilik video berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Sha berkata, kejadian itu sengaja dilakonkan kerana mahu membantu perniagaan suaminya.

Susulan video tular tersebut, Sha mula gusar dengan bantuan dan pertolongan dihulurkan orang ramai yang nyata percaya akan insiden dipaparkan dalam video berkenaan.

Difahamkan, pihaknya mula menerima panggilan serta pesanan mesej dari warganet yang terkesan dengan video tersebut.

Menurutnya, tingkap lori berkenaan sudah lama pecah dan idea itu tercetus selepas suaminya mahu mendapatkan pelanggan untuk perniagaannya.

"Tingkap lori tu memang dah lama pecah, dan suami saya sengaja mahu cuba untuk reka cerita dengan meminta rakannya berlakon jadi ganas.

"Tak sangka pula video itu tular dan sampai sekarang orang banyak mesej saya minta alamat untuk bagi bantuan.

"Saya mohon maaf sangat-sangat kepada semua yang terkesan, memang takda niat nak tipu semua orang, cuma nak bantu suami sahaja." katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, suaminya sudah lama tidak menerima upah penghantaran dan video itu dibuat memang bertujuan untuk membantu perniagaan suaminya.

Risau akan maklum balas warganet, beliau difahamkan mahu membuat video permohonan maaf di TikTok peribadi.

"Ada bercadang untuk buat video permohonan maaf dan penjelasan tentang video tular itu tapi risau juga penerimaan masyarakat nanti.

"Harap isu itu tidak disebarkan lagi dan saya memang menyesal atas perbuatan kami," jelasnya.

Sehingga kini, video tular itu telah menerima lebih 200,000 jumlah tontonan dan orang ramai dinasihati untuk tidak menyebarkan lagi rakaman berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram