PENGHUNI perumahan sebuah kondominium di Putra Villa di Setapak, Kuala Lumpur didakwa bersifat pengotor selepas sisa tuala wanita dan kondom pakai buang dilaporkan bersepah di kaki lima bangunan tersebut.
Perkara itu dikongsikan di laman Twitter baru-baru ini selepas persekitaran kondominium itu dicemari dengan najis berupa sisa buangan tuala wanita yang nyata mengundang rasa jijik dalam kalangan penduduk di situ.
Difahamkan, situasi itu telah berlarutan sejak setahun yang lalu namun, ia masih gagal dibendung oleh pihak pengurusan.
Susulan perkara itu, Majoriti bertindak menghubungi pihak pentadbiran kondominium berkenaan bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu tersebut.
Menurut jurucakap pengurusan kondominium terbabit, masalah itu kian meruncing kebelakangan ini namun pihaknya telah menjalankan kerja-kerja pembersihan dengan segera.
"Kami sedia maklum tentang hal itu dan memang ada aduan diterima berkenaan isu pembuangan tuala wanita di beberapa blok di sini tetapi kerja pembersihan dilakukan segera.
"Kami masih menyiasat individu yang melakukan perbuatan itu dan notis amaran serta denda telah dikeluarkan kepada semua penghuni.
"Tiga amaran akan diberikan terlebih dahulu sebelum tindakan keras diambil dan denda sebanyak RM300 akan dikenakan kepada mereka yang bersalah," katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut berkenaan suspek yang melakukan perbuatan itu, pihaknya berpendapat bahawa golongan warga asing antara yang disyaki.
"Kami syak mungkin warga asing yang buat perkara itu kerana pekerja pembersihan menemui beberapa contengan serta tulisan bahasa luar pada sampah berkenaan.
"Tukang sapu semua diarahkan untuk memeriksa sampah serta sisa najis itu did dalam tong pembuangan sampah dan kami syak ia mungkin dilakukan golongan warga asing.
"Tetapi kami tak boleh buat tuduhan melulu dan setakat ini notis amaran dan denda memang ditampal merata sebagai langkah pencegahan," ujarnya.
Mengakhiri perbualannya, pihaknya turut meminta agar segala aduan dikemukakan terus kepada pihak pengurusan supaya tiada spekulasi dan tuduhan dibuat di laman media.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihati agar tidak meniru perbuatan tersebut dan perlu memastikan sampah serta sisa buangan dibuang di tempat sepatutnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram