Akaun dibeku SPRM, Bersatu sukar dapat wang politik


  • Politik
  • Rabu, 01 Feb 2023

SPRM membekukan akaun Bersatu sekali gus menyebabkan parti berkenaan sukar untuk bergerak pada PRN akan datang.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai alasan kukuh sebelum bertindak drastik membekukan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Prof Madya Dr Jeniri Amir.

Penganalisis politik itu berkata, keputusan SPRM itu sekali gus menyebabkan kesukaran Bersatu bergerak dalam dunia politik, apatah lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Jeniri-Amir

Jeniri Amir

"Wang merupakan salah satu faktor utama menggerakkan jentera akar umbi untuk kempen termasuk menghasilkan poster, upah jentera parti, deposit untuk calon bertanding dan sebagainya.

"Apa yang berlaku ketika ini meletakkan Bersatu di kedudukan sukar, malah sebagai parti pembangkang lagi sukar untuk mereka dapatkan wang politik kerana tiada sokongan.

"Itulah sebabnya ada yang menganggap keputusan itu adalah disengajakan untuk memastikan Bersatu sukar bergerak," katanya kepada Majoriti.

Ketika ditanya mengenai penyelesaian boleh dibuat Bersatu berhubung wang politik, Jeniri Amir berkata, mereka hanya boleh meminta dana daripada ahli parti ketika situasi sulit itu.

Namun, katanya, ia masih tidak lagi mencukupi untuk memastikan jentera parti dapat bergerak secara efisien.

"Jadi, saya tak fikir ada jalan keluar berkesan untuk dapatkan dana politik parti tersebut," katanya.

Terdahulu, SPRM mengesahkan membeku akaun Bersatu bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah laku dilakukan pemimpin parti itu.

Difahamkan, akaun parti berkenaan dibekukan pihak berkuasa sejak dua minggu lalu, bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Pada masa sama, ia juga didakwa mempunyai kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan berjumlah RM92.5 billion yang didakwa diseleweng kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.

Disember lalu, SPRM mengesahkan menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi dibelanjakan kerajaan terdahulu pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan Covid-19 daripada Kementerian Kewangan.

SPRM berkata, fokus siasatan terarah kepada RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggar hampir RM600 bilion.

Sebelum ini, seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta ditahan reman selama lima hari oleh SPRM kerana disyaki menjadi ‘orang tengah’ dalam pengagihan projek kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram