'Jika 2 jawatan tertinggi dipertandingkan pun, masalah dalaman Umno tak juga selesai-selesai'


  • Politik
  • Ahad, 15 Jan 2023

Ahmad Zahid (baju biru) dan sebelahnya, Mohamad Hasan ketika mengadakan sidang media PAU 2022 pada Sabtu.

KEPUTUSAN Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 menyaksikan persetujuan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Ini sekali gus menyaksikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan masing-masing kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden bagi tempoh sepenggal lagi.

Menurut kenyataan Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil sebelum ini, usul tambahan itu lulus selepas disokong oleh hampir kesemua perwakilan yang mengambil bahagian.

Rusdi-Omar (1)

Rusdi Omar

Mengulas senario itu, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, keputusan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi itu disebabkan Umno mahukan kestabilan dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Penganalisis politik itu berkata, sekiranya jawatan tersebut dipertandingkan, masalah dalaman Umno masih juga tidak dapat diselesaikan.

"Dalam masa sama, Umno juga mahu melakukan persiapan menghadapi PRN (Pilihan Raya Negeri) di enam negeri antara penyebab tak berlaku pertandingan tersebut," katanya kepada Majoriti.

file7ohim30xpk36emi3fqr

Antara pemimpin dan ahli Umno melakukan sesi bergambar selepas PAU 2022 pada Sabtu.

Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan itu akan menyukarkan lagi usaha menarik golongan muda terhadap parti tersebut.

Naib Presiden Umno itu berkata, ini kerana keputusan itu jelas bertentangan dengan hasrat dan aspirasi golongan berkenaan, yang memperjuangkan demokrasi dan kebebasan termasuklah dalam isu memilih pemimpin.

Mengulas lanjut, Rusdi Omar berkata, usaha menarik sokongan muda bukan hanya terletak di tangan Ahmad Zahid dan Mohamad Hasan, sebaliknya pihak lain di dalam Umno turut memainkan peranan penting.

Beliau berkata, kepimpinan parti itu perlu bersatu dalam menghadapi PRN dari segi cara mendapatkan sokongan anak muda dengan menjaga hati mereka, melihat permasalahan dan menyelesaikannya secara baik dan berhemah.

"Kalau kita lihat PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15), kebanyakan anak muda menyokong Perikatan Nasional (PN).

"Tetapi, PRN kali ini belum tentu mereka akan menyokong PN sebab kerajaan yang ada sekarang ini merupakan Kerajaan Perpaduan. Jadi, sokongan mungkin akan bertukar.

"Jika dilihat, ramai anak muda bersama Perdana Menteri ketika ini. Apa yang penting sekarang adalah pemimpin kena 'tackle' betul-betul hati anak muda," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram