PARTI Bangsa Malaysia (PBM) berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tidak lama lagi.
Presidennya, Datuk Larry Sng berkata, beliau sudah menulis surat kepada pemimpin PH dan Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin bagi menunjukkan minat itu.
"PBM kini mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa dan Lembah Jaya.
"Saya berharap hubungan kerja baik PBM dengan rakan parti komponen di peringkat Persekutuan dapat diperluaskan ke peringkat negeri.
"Ini bagi memastikan kestabilan negara bergerak ke hadapan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
PBM yang memenangi satu kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melalui Larry di Parlimen Julau merupakan antara parti menyokong pembentukan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan adalah di bawah pentadbiran PH, manakala Kedah, Terengganu dan Kelantan pula diterajui PAS.
Enam negeri tersebut tidak membubarkan DUN masing-masing untuk dijalankan secara serentak dengan peringkat Parlimen dalam PRU15 pada 19 November. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram