Pimpinan Umno, PKR peringkat negeri sudah bincang mengenai PRN — Rafizi


  • Politik
  • Sabtu, 21 Jan 2023

Rafizi ketika berucap dalam Konvensyen Pilihan Raya PKR Negeri Terengganu.

TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli mengesahkan bahawa terdapatnya perbincangan tidak rasmi antara PKR dan Umno di peringkat negeri, termasuk Terengganu mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bagaimanapun, beliau berkata, perbincangan itu hanyalah proses suai kenal antara kepimpinan kedua-dua parti dan bukannya melibatkan sebarang keputusan atau prinsip berhubung PRN.

"(Perbincangan mengenai PRN) belum secara rasmi. Yang berlaku sekarang secara tidak rasmi. Maksudnya di peringkat negeri masing-masing. Di Terengganu pun Nik Nazmi (Nik Ahmad Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan dan Terengganu) sudah jumpa dengan (Datuk Seri) Ahmad Said (Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu),” katanya.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pilihan Raya PKR Negeri Terengganu di Taman Tamadun Islam, Terengganu pada Sabtu.

Katanya, keputusan mengenai PRN termasuk pembahagian kerusi dan penggunaan logo akan terlebih dahulu dibincangkan secara rasmi oleh kepimpinan parti-parti di peringkat pusat. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram