Usah telan bulat-bulat 'DAP tidak bermuka-muka'


  • Politik
  • Sabtu, 14 Jan 2023

Mohamad Hasan ketika menghadiri PAU 2022 pada Rabu.

KENYATAAN Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyifatkan DAP sebagai tidak bermuka-muka dalam setia kawan tidak perlu ditelan bulat-bulat.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir mendakwa, kenyataan Timbalan Presiden Umno itu berbaur politik dan retorik kerana DAP pernah diserang dengan pelbagai kenyataan sebelum ini.

Namun, katanya, apabila Umno sudah bekerjasama dengan DAP, parti terbesar orang Melayu itu menafikan segala gambaran tersebut.

"Jadi, kita nak uji sejauh mana dia dapat bekerjasama dengan DAP. Sedangkan DAP dengan dia (Umno) mempunyai ideologi berbeza.

"Adakah dia yakin DAP ikhlas dan sejujur-jujurnya dalam hubungan ini berbanding PAS dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia)?

"Saya cuma rasa kenyataan itu lebih kepada nak menyedapkan hati akar umbi atau ahli Umno," katanya kepada Majoriti.

Jeniri-Amir

Jeniri Amir

Ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022, Mohamad Hasan berkata, keputusan Umno bekerjasama dengan DAP pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana parti itu tidak bermuka-muka dan berpura-pura dalam setia kawan.

Beliau berkata, jika Umno bersama dengan Perikatan Nasional (PN), Umno hanya menjadi pemain ketiga yang berkongsi kepentingan penduduk yang sama.

"Kita tahu siapa itu DAP. Kita juga tahu siapa itu PKR dan Amanah. Maka kita membuat keputusan, berdasarkan pilihan paling sesuai, untuk membolehkan kita mengurus perbezaan," katanya dipetik sebagai berkata.

Mengulas lanjut, Jeniri Amir berkata, kedua-dua Umno dan DAP dilihat saling menyerang dan memberi label negatif terhadap satu sama lain sebelum ini.

Namun, apabila kedua-duanya sudah berada di bawah bumbung kerajaan sama, pelabelan negatif adalah tidak sama seperti dulu.

"Jadi, label-label terhadap DAP seperti hipokrit, cauvinis dan sebagainya saya pasti ia merupakan ujian untuk kita lihat bagaimana PRN (Pilihan Raya Negeri) yang diadakan tidak lama lagi.

"Adakah mereka menyerang antara satu sama lain atau bersedia untuk berkongsi kerusi dan sebagainya," katanya.

Bunuh Umno

file7ogscxqdfjq11ibrsjwm

Antara pemimpin Umno yang hadir ketika PAU 2022.

Sebelum ini, Mohamad Hasan dilapor mendakwa, PAS 'ingin membunuh' Umno dalam politik negara dan pada masa sama menganggap DAP ikhlas terhadap Umno.

Menafikan perkara itu, Jeniri Amir berkata, parti yang dilihat mungkin membunuh Umno adalah Bersatu.

"Perkara ini dilihat ketika pemimpin Bersatu terdahulu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad cuba menarik ahli Umno bagi menubuhkan Bersatu," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa PAS mempunyai penerimaan tinggi daripada bangsa Melayu berbanding Umno kerana ahli-ahlinya lebih bersih daripada sebarang jenayah, termasuk salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram