Rakyat jadi mangsa jika PRN 6 negeri diadakan berasingan - Pakar


  • Politik
  • Isnin, 23 Jan 2023

PRN secara serentak di enam negeri boleh memudahkan orang ramai membuang undi.

KRISIS politik di negara ini seakan-akan tiada kesudahan, meskipun Kerajaan Perpaduan sudah ditubuhkan pada November tahun lalu.

Antara permasalahan yang masih belum selesai adalah tarikh pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menjelaskan, satu pertemuan di antara Menteri Besar dan Ketua Menteri di enam negeri terbabit akan diadakan bagi membincangkan tarikh sesuai untuk mengadakan PRN.

file7nommn2fj5fr2leu6k7

Orang ramai beratur menunggu giliran membuang undi pada PRU15 lalu.

Pada masa sama, PAS pula dikatakan akan menetapkan sendiri tarikh sesuai untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN di tiga negeri ditadbir parti itu iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan di peringkat kepemimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) sebelum membuat keputusan mengenai masa sesuai untuk pelaksanaan PRN.

1873712

Mujibu

Mengulas perkara itu, Mujibu Abd Muis tidak menolak kemungkinan peratusan keluar mengundi pada PRN akan berkurangan kerana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah pun dilaksanakan.

Oleh itu, penganalisis politik itu berpendapat, sukar untuk rakyat memberi tumpuan atau perhatian kepada PRN kerana beranggapan ia sudah tidak lagi menjadi suatu kepentingan, sebaliknya sekadar mahu mengesahkan kerajaan negeri.

"Tetapi kalau PRN dilaksanakan serentak di enam negeri boleh memudahkan orang ramai membuang undi. Hal ini mengambil kira kos keluar mengundi, proses PRN berlangsung, kerja-kerja SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), dan penyelarasan.

"Selain itu, mungkin mood mengundi itu boleh dibangkitkan di negeri-negeri terbabit macam PRU sebelum ini.

"Namun, memandangkan kuasa bubar (Dewan Undangan Negeri) ada di tangan menteri besar di negeri masing-masing, ia (PRN) mungkin dibuat secara berasingan," katanya kepada Majoriti.

Rusdi-Omar (1)

Rusdi Omar

Senada dengannya, Prof Madya Dr Rusdi Omar turut mencadangkan PRN di enam negeri diadakan serentak.

Oleh itu, penganalisis politik itu berkata, kerajaan pusat dan kerajaan negeri perlu duduk berbincang tentang tarikh pelaksanaan pilihan raya yang sesuai.

"Biasanya perlu mendapat perkenan istana negeri. Kita tidak mahu laksana PRN tanpa persetujuan istana sebab Hari Keputeraan setiap negeri adalah berbeza.

"Pada pandangan saya, bulan Jun atau Julai iaitu selepas Hari Raya Haji adalah antara waktu sesuai diadakan PRN," katanya.

file7nommp8rddhs5c756k7

Pengundi beratur di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia I di Gombak, Selangor pada PRU15 lalu.

Tambahnya, PRN sepatutnya dilaksanakan ketika PRU baru-baru ini bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat.

Namun, katanya, pelaksanaan PRN selepas PRU memberi hikmah kepada rakyat apabila mereka boleh menilai tahap efisien sesebuah parti politik.

"Kalau kerajaan negeri dan kerajaan pusat boleh bersama, maknanya dua-dua akan dapat kelebihan.

"Tetapi, kalau PRN dilaksanakan dalam masa berbeza, kita boleh menilai macam mana pemimpin politik buat keputusan.

"Ini membuktikan mereka buat keputusan ikut kehendak mereka dan menyebabkan rakyat jadi mangsa," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram