[VIDEO] Mayat wanita Thailand berulat di Pasir Mas, kes tragis ketiga dalam seminggu


  • Tular
  • Sabtu, 21 Jan 2023

Tiga kes tragis penemuan mayat dilaporkan berlaku dalam masa seminggu berturut-turut.

SEORANG mayat wanita dipercayai warga Thailand ditemui dalam keadaan berulat dalam semak berhampiran sebuah kedai dobi di Kampung Gual Tinggi, Ranjau Panjang, Kelantan pada Khamis.

Hasil siasatan polis, mangsa yang dikenali sebagai Rusnani Satapo, 42, ditemui oleh seorang pelajar sekolah pada pukul 2 petang ketika melalui kawasan berkenaan.

Rakaman kejadian turut dikongsikan di laman media dan memaparkan keadaan mayat tersebut ynag kelihatan sudah kembung dan berulat ketika ditemukan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, mayat wanita itu ditemui kira-kira 20 meter di belakang premis tersebut.

Menurutnya, seorang saksi wanita berusia 24 tahun memaklumkan bahawa dia terlebih dahulu melihat mangsa menunggang motosikal dan berhenti di kedai dobi itu kira-kira pukul 11 pagi pada Isnin lalu.

“Tiga hari kemudian, mayat wanita itu dijumpai oleh seorang pelajar berhampiran kawasan tersebut dan siasatan di lokasi kejadian turut menemui sebuah telefon bimbit berhampiran mayat wanita berkenaan,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas, Kelantan untuk dibedah siasat selain kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Dalam pada itu, kejadian itu merupakan kes penemuan mayat ketiga yang berlaku dalam tempoh seminggu selepas rakyat Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan penemuan sebuah beg hitam berisi mayat di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berhampiran susur Rawang Selatan, Selangor pada Selasa.

Ditemukan dalam keadaan tragis, mayat berkenaan tidak mempunyai kepala, tangan dan kaki dan mangsa disahkan bukan warga tempatan.

Selang dua hari kemudian, seorang lagi mayat wanita ditemukan terlentang di kawasan semak tepi jalan di Kampung Alor Gali, Marang, Terengganu pada Khamis.

Ketika ditemukan, mangsa dianggarkan berusia antara 20 hingga 30-an itu dalam keadaan memakai sehelai seluar panjang berwarna hitam, baju lengan panjang merah jambu dan sehelai kain dipercayai tudung kepunyaan mangsa.

Identiti dan status warganegara mangsa masih belum dapat dipastikan sehingga kini kerana tiada sebarang pengenalan diri yang dijumpai.

Susulan itu, tiga kes penemuan mayat berkenaan dilaporkan berlaku dalam masa seminggu ini dengan kesemuanya ditemui dalam keadaan memilukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram