KJ ada aura unik tarik 2 golongan bersama Perikatan


  • Politik
  • Ahad, 29 Jan 2023

Khairy dilihat mempunyai aura unik untuk menarik sokongan pengundi.

BEKAS ahli Umno yang dipecat pada Jumaat lalu, Khairy Jamaluddin disifatkan sebagai pemimpin politik yang mempunyai aura unik untuk digunakan mana-mana parti.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, aura yang dimiliki Khairy mampu meningkatkan lagi sokongan rakyat khususnya golongan muda dan kaum bukan bumiputera terhadap Perikatan Nasional (PN).

"Saya fikir kedua-dua pihak, Khairy dan PN mampu saling memberikan impak positif terhadap satu sama lain kerana dalam politik, setiap pihak ada kelebihan masing-masing.

"Saya juga merasakan Khairy lebih arif mengenai hakikat ini," katanya kepada Majoriti.

muhammad-faiz-naam

Dr Muhammad Faiz Na'aman

Ditanya mengenai adakah parti yang memegang kerajaan sekarang perlu risau jika Khairy memilih bersama PN, perkara itu terpulang kepada mereka.

Jelasnya, apa yang yang pasti ialah keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu telah memberi isyarat bahawa rakyat sudah ramai memberi sokongan kepada PN terutama para pengundi muda.

"Apatah lagi jika tokoh pemimpin muda seperti Khairy berada bersama PN, maka sudah tentulah momentum tersebut akan diperkasakan lagi, InsyaALLAH.

"Kami di PN bukan sekadar berharap tsunami pengundi Melayu semata-mata. Tetapi kami menjangkakan 'gegaran' sokongan daripada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama yang mahukan kerajaan bersih dari kluster mahkamah serta fokus buat kerja bagi pulihkan ekonomi rakyat dan negara tanpa perlu banyak menabur janji atau retorik," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan keterbukaan PN untuk menerima Khairy, Dr Muhammad Faiz berkata, kenyataan Presiden Bersatu pada Ahad sudah menunjukkan bahawa partinya sentiasa membuka pintu untuk bekas pemuda Umno itu mendaftar sebagai ahli.

Terdahulu, susulan pemecatan Khairy daripada Umno, beberapa parti pembangkang sudah mula membuka pintu kepada ahli politik itu untuk meneruskan kerjaya politiknya.

Selain Bersatu, parti lain yang turut membuka pintu untuk Khairy adalah Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Pas dan Gerakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram