Umno Sembrong teguh bersama Hishammuddin, kritik keputusan parti


  • Politik
  • Ahad, 29 Jan 2023

Satu mesyuarat bahagian diadakan untuk membincangkan keputusan penggantungan keahlian Hishamuddin.

TIMBALAN Ketua Umno Bahagian Sembrong, Datuk Abd Ghani Abd Rashid berpendapat keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menggantung keahlian Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai "hukuman terlalu berat".

"Ia seolah-olah pucuk pimpinan tertinggi parti melupakan titik peluh, pengorbanan dan kesetiaan Hishammuddin dalam Umno dan hampir 20 tahun membangunkan cawangan ini.

"Sepanjang beberapa tahun dia bergelar ketua cawangan, dia tidak pernah menunjukkan rasa tidak setia atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyakitkan parti," katanya.

Dia berkata demikian dalam satu sidang media selepas mempengerusikan satu mesyuarat khas di Taman Sri Lambak, Kluang, Johor pada Ahad berikutan penggantungan itu.

Tambah Abd Ghani, ahli bahagian tersebut turut meluahkan kekecewaan mereka secara sebulat suara dan meminta penjelasan kerana keputusan itu dibuat tanpa proses yang sah.

Jumaat lalu, bekas Menteri Pertahanan itu digantung keahlian selama enam tahun selepas dirasakan tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti itu.

Selain itu, terdapat juga laporan yang mengatakan tindakan itu diambil selepas beliau dikatakan sebagai salah seorang daripada 10 Ahli Parlimen Umno yang menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10.

Sokongan berkenaan bagaimanapun ditarik semula selepas Presiden Umno dan Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertegas mereka akan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beberapa pemimpin parti lain juga dikenakan tindakan sedemikian, termasuk bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan ahli MKT, Tan Sri Noh Omar. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram