KETUA Penerangan Umno, Isham Jalil menegaskan pemecatan dan penggantungan beberapa ahli parti itu, termasuk Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar adalah dibuat berdasarkan rekomendasi Lembaga Disiplin Umno.
Katanya, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mempunyai kuasa untuk memecat atau menggantung keahlian sesiapa sahaja berdasarkan perlembagaan parti tersebut.
"Proses-proses lain yang melibatkan Lembaga Disiplin dan sebagainya itu sebenarnya hanya pengurusan dalaman yang dipraktikkan.
"Oleh itu, apabila MKT telah memperakukan pemecatan dan penggantungan ahli Umno, maka pemecatan dan penggantungan itu adalah sah di sisi Perlembagaan Umno dan undang-undang serta peraturan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook peribadinya pada Ahad.
Katanya, tindakan-tindakan itu bukan satu pengakhiran buat pemimpin yang terlibat kerana mereka masih mempunyai peluang untuk mengemukakan rayuan dengan mengadakan perjumpaan bersama Lembaga Disiplin.
"Lembaga Disiplin Umno bukanlah Mahkamah Persekutuan dan hukuman kepada Tan Sri Noh dan Khairy ini bukanlah hukuman penjara atau hukuman mati," katanya.
Dalam pengumuman yang dibuat Jumaat lalu, enam pemimpin dikenakan tindakan penggantungan keahlian dan dipecat selepas melanggar tatatertib parti.
Mereka yang lain ialah bekas Ketua Penerangan, Shahril Hamdan, Ahli Parlimen Semberong, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, bekas Ahli Exco Pemuda, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, Datuk Maulizan Bujang dan Datuk Seri Mohd Salim Shariff. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram