Dua kemungkinan masa depan Umno, pemilihan parti jadi penentu nasib


  • Politik
  • Ahad, 29 Jan 2023

Masa depan Umno kini tertumpu pada pemilihan Umno yang akan bermula pada 1 Februari depan.

PEMECATAN dan penggantungan ahli Umno sebelum ini menjadi isu dan menjadi bahan bualan pengikut politik tempatan apatah lagi masalah tersebut datang dari parti tertua dalam negara.

Pada Jumaat, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemecatan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan penggantungan enam tahun keahlian bekas Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar yang kemudiannya dipecat atas kehendak beliau sendiri.

Turut digantung keahlian bagi tempoh sama adalah Ketua Umno Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan; Ahli Parlimen Jempol dan Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Perkara itu mendapat respons yang pelbagai dalam kalangan rakyat sehinggakan ada yang secara terbuka menyatakan rasa hilang kepercayaan kepada Umno.

Namun, penganalisis politik, Prof Dr. Azmi Hassan berkata, ada dua kemungkinan yang akan berlaku terhadap Umno selepas parti itu membuat keputusan pemecatan dan penggantungan pemimpin dan ahli Umno itu.

KUALA LUMPUR, 18 Mac -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.UMNO bagi dokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjaga kerajaan sebaik-baiknya.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Umno menjadi lebih kuat

Menurut Azmi pemilihan Umno yang bermula 1 Februari depan akan menjadi penentu buat parti tersebut.

"Jika jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan beberapa jawatan penting lain diisi oleh mereka yang 'pro' Ahmad Zahid dan masih bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), maka Umno akan mempunyai kelebihan.

"Ini kerana, pembahagian kerusi akan memperlihatkan kelebihan kepada Umno," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, persepsi Umno menjadi lebih kuat akan menjadi begitu kerana parti itu berjaya dikawal oleh presiden parti dan pengundi juga akan percaya perkara itu.

Kepercayaan terhadap parti itu menurut Azmi akan memberi kelebihan untuk mereka tampil lebih kuat dalam gabungan bersama PH.

WhatsApp Image 2023-01-29 at 5.08.26 PM

Umno ditolak, pengundi pilih PAS, Bersatu.

Tetapi menurut Azmi, jika berlaku sebaliknya dalam pemilihan Umno yang mana kumpulan anti-Zahid memenuhi jawatan penting, kemelut Umno akan berterusan.

Jelasnya, ketika itu, Umno akan dilihat sebagai sebuah parti yang lemah dan pembahagian kerusi dalam PH juga tidak berpihak pada parti itu.

"Malah, Umno juga mungkin tidak mampu menarik perhatian pengundi Melayu yang mana kebanyakan mereka akan mula berpindah ke parti lain.

"Semestinya ketika itu, pengundi akan berpindah untuk bersama Bersatu atau PAS," katanya.

Tambahnya, disebabkan itu pemilihan Umno pada 1 Februari depan akan menjadi penentu kepada nasib parti tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram