Ditegur potong pokok timun, lelaki maut ditetak geng warga asing di Kluang


  • 112
  • Ahad, 29 Jan 2023

Polis menahan lima lelaki Bangladesh dan lima lagi lelaki Myanmar sebelum mereka direman selama tujuh hari bermula Jumaat.

SEORANG lelaki warga asing maut ditetak selepas terlibat dalam satu pergaduhan melibatkan sekumpulan pekerja Bangladesh dan Myanmar di sebuah kilang di Jalan Mengkibol, Kluang, Johor pada Khamis.

Difahamkan punca pergaduhan itu tercetus ekoran daripada tindakan suspek memotong pokok timun yang ditanam di kawasan asrama.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd Noh berkata, kejadian melibatkan mangsa yang merupakan operator kilang warga Bangladesh berusia 31 tahun berlaku di hadapan bilik asrama pekerja kilang tersebut pada pukul 4 petang.

"Punca kejadian pada hari itu (Khamis) adalah kerana pokok timun yang ditanam mangsa dirosakkan oleh suspek warga Myanmar. Kemudian mangsa dan rakan-rakannya iaitu warga Bangladesh bertanya suspek berkenaan pokok yang dipotong itu lalu berlaku pergaduhan antara mereka.

"Kejadian itu diketahui selepas pengurus kilang berkenaan diberitahu seorang pekerjanya mengatakan pekerja kilang berkenaan sedang bergaduh di hadapan asrama kilang.

"Pengurus berkenaan kemudian pergi ke asrama pekerja untuk membuat pemeriksaan dan mendapati keadaan terkawal, namun pada pukul 5 petang pengurus berkenaan melihat tiga pekerja dibawa rakan-rakannya ke tengah jalan di kawasan kilang dalam keadaan cedera.

"Pengurus bersama-sama rakannya membawa dua pekerja untuk mendapat rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom HEBHK) dan seorang lagi pekerja dibawa mendapatkan rawatan di klinik berdekatan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Bahrain berkata, hasil siasatan mendapati pergaduhan tersebut melibatkan pekerja warga Bangladesh dan Myanmar di asrama pekerja.

Jelasnya, asrama pekerja kilang itu mempunyai dua blok yang diduduki pekerja warga Bangladesh, Myanmar dan Nepal.

Tambahnya lagi, mangsa yang cedera di bahagian kepala dihantar ke HEBHK tetapi dimasukkan dalam wad selepas tidak sedarkan diri dan kritikal.

"Pegawai perubatan di HEBHK memaklumkan mangsa meninggal dunia pada pukul 1.56 pagi semalam (Sabtu).

"Sususlan itu, polis menahan lima lelaki Bangladesh berusia 30 sehingga 41 tahun dan lima lagi lelaki Myanmar berusia 21 sehingga 41 tahun sebelum mereka direman selama tujuh hari bermula Jumaat," jelasnya.

Pihaknya turut merampas sebilah parang sepanjang kira-kira hampir setengah meter dan dua batang paip sepanjang hampir satu meter.

Tambahnya, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram