‘Unbowed, unbent, unbroken’, setia dan sayang KJ dibalas dengan pemecatan Umno


  • Politik
  • Sabtu, 28 Jan 2023

Khairy antara yang dipecat Umno berikutan tindakan menentang parti itu.

BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan bahawa beliau tidak kecewa mahupun tunduk selepas dipecat sebagai ahli Umno pada Jumaat.

Menerusi kenyataan di laman Twitter, bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau juga tidak terkesan dengan keputusan tersebut.

"Malam ini saya dipecat oleh parti yang saya sayang yang saya berikan kesetiaan.

"Unbowed, unbent, unbroken," tulisnya ringkas.

Screenshot 2023-01-28 094827

Tangkap layar hantaran Khairy di Twitter

Pada masa sama, beliau secara sinis turut menukar bio Twitternya sebagai 'Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan'.

Screenshot 2023-01-28 095012

Tangkap layar bio Khairy yang sudah ditukar di Twitter.

Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, hampir 50 pemimpin Umno sama ada dipecat atau digantung kerana menentang parti termasuk bertanding sebagai calon bebas semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

Setiausaha Agung Umno itu mengesahkan, Khairy dan Tan Sri Noh Omar adalah antara yang dipecat, berikutan keputusan yang diambil oleh mesyuarat majlis tertinggi pada Jumaat.

Katanya, Umno turut menggantung Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.

"Ahli Umno yang digantung hak-haknya dalam parti selama enam tahun ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Saudara Shahril Sufian Hamdan.

"Selain itu yang turut dipecat ialah lima orang ahli Umno Bahagian Pasir Gudang, sembilan orang ahli Umno Bahagian Putrajaya, dua orang ahli Umno Bahagian Tanjung Karang dan 26 orang ahli Umno dari negeri Pahang," katanya dalam satu kenyataan pada lewat malam Jumaat.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Johor baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram