Umno lakukan pembersihan besar-besaran, nasib KJ, pengkhianat dibincang esok — Zahid


  • Politik
  • Khamis, 26 Jan 2023

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

NASIB bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin mengenai keahliannya dalam Umno hanya akan diketahui selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada Jumaat, kata Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Kita perlu tunggu mesyuarat kerana keputusan itu bukan sahaja menentukan nasib seorang individu. Umno sedang mengadakan pembersihan besar-besaran, termasuk kepada mereka yang melakukan pengkhianatan.

"Sesiapa yang terasa atau tidak, mereka akan ketahui nasib mereka esok," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di Putrajaya pada Khamis.

Ketika ditanya mengenai mereka yang berdepan dengan perkara itu, Zahid yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri itu juga menegaskan informasi seperti itu tidak boleh dikongsikan terlalu awal.

Rabu lalu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, nasib Khairy dalam parti berkenaan akan diketahui tidak lama lagi.

Sebelum ini, Khairy yang pernah memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Rembau pernah menyatakan cita-citanya untuk 'membersihkan' Umno jika dia memenangi kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Tambahnya, terdapat konspirasi daripada beberapa pihak yang cuba memastikan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU). — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram