'KJ lebih bahaya jika keluar Umno', hanya 2 destinasi politik Khairy jika dipecat


  • Politik
  • Khamis, 26 Jan 2023

Khairy bergambar bersama penyokongnya ketika menghadiri PAU 2022 baru-baru ini.

KEDUDUKAN Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam Umno menimbulkan tanda tanya, selepas beliau mendakwa, terdapat cubaan membawa masuk 'perwakilan import' bagi mengundi usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.

Terdahulu, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan mendakwa, beberapa tanda nama yang dikhaskan untuk perwakilan Umno pada kerusi dalam Dewan Merdeka ditanggalkan untuk undian usul sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022.

Menerusi satu video di akaun TikTok, Khairy berkata, tindakan itu dipercayai bagi membolehkan perwakilan ‘import’ dibawa masuk untuk sorak dan ‘bulldoze’ usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Pada Rabu, media tempatan melaporkan bahawa, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dijangka membuat keputusan mengenai tindakan disiplin terhadap Khairy pada Jumaat.

1900861

Jeniri Amir

Mengulas mengenai perkara itu, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, tindakan drastik memecat Khairy bukanlah langkah terbaik, sebaliknya akan mengundang perpecahan lebih besar kepada Umno.

Penganalisis politik itu berkata, hal ini disebabkan Khairy dilihat sebagai tokoh yang mempunyai pengaruh besar kepada parti tersebut.

"Jadi, apa-apa tindakan atau hukuman yang dikenakan kepada beliau harus mempertimbangkan semua faktor termasuk kesan negatif kepada Umno. Saya fikir tindakan yang perlu dilakukan adalah dengan hanya memberi amaran.

"KJ (Khairy) di luar Umno lebih bahaya daripada KJ di dalam Umno. Lebih baik individu seperti KJ tarik golongan muda seusia dengan beliau kerana dilihat sebagai pemimpin berwibawa, selain mempunyai pandangan bernas untuk membawa parti dan negara ke hadapan," katanya kepada Majoriti.

file7noovrgmwkhlem4z6k1 (1)

Khairy bergambar bersama penyokongnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November lalu.

Ketika ditanya mengenai arah tuju Khairy sekiranya tidak lagi bersama Umno, Jeniri Amir tidak menolak kemungkinan beliau akan diundang untuk menyertai parti lain, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Jelasnya, parti komponen Pakatan Harapan (PH) seperti PKR dan DAP sebaliknya tidak akan berbuat demikian kerana sudah mengadakan kerjasama dengan Umno.

"Umno takkan selesa dan tak akan menerima jika mana-mana parti komponen PH menerima KJ.

"Ini akan beri tindak balas kepada Umno dan dillihat seolah-olah tidak menghargai kerjasama dijalankan sekarang apabila tertubuhnya Kerajaan Perpaduan," katanya.

1912214

Mujibu Abd Muis

Seorang lagi penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, meskipun Khairy sudah dikenali, namun survival beliau dalam dunia politik yang disifatkan 'main langgar' menyebabkan parti politik lain gerun.

Namun, Mujibu melihat PKR sebagai parti yang sesuai dengan Khairy sekiranya beliau meninggalkan Umno.

"Style, vibe, ideologi, karakter Khairy dilihat lebih sesuai dengan beliau.

"Tetapi, PKR memiliki ramai ahli seperti beliau, tapi saya tak rasa dia akan sertai parti itu.

"KJ juga bagus dalam Umno dan parti itu memerlukannya kerana tak ramai individu seperti beliau," katanya.

file7nn5ll6n65ulq2h08al

Khairy melambaikan tangan ke arah pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam ketika menghadiri sebuah program pada November lalu. — Bernama

Pada masa sama, Mujibu juga tidak menolak kebarangkalian Khairy akan menubuhkan parti baharu jika benar beliau dipecat Umno.

"Sebagai ahli politik, beliau kena cari parti baharu jika memerlukan satu platform.

"Tetapi, pendapat saya, beliau sebaiknya tidak perlu menubuhkan parti baharu tetapi sertai parti yang lebih kukuh, parti yang memberi tawaran kepadanya atau parti yang baru nak bina tapak seperti Pejuang. Namun, saya tak nampak semua itu sebagai pilihan KJ," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram