KJ, Noh Omar dipecat Umno kerana langgar disiplin parti — Ahmad Maslan


  • Politik
  • Sabtu, 28 Jan 2023

Khairy Jamaluddin (kiri) dipecat manakala Hishammuddin (kanan) digantung Umno selama 6 tahun.

BEKAS Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dipecat Umno.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dua pemimpin itu dikenakan tindakan terbabit kerana melanggar disiplin parti sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Umno turut menggantung Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.

“Ahli Umno yang digantung hak-haknya dalam parti selama 6 tahun ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Saudara Shahril Sufian Hamdan.

“Selain itu yang turut dipecat ialah lima orang ahli Umno Bahagian Pasir Gudang, sembilan orang ahli Umno Bahagian Putrajaya, dua orang ahli Umno Bahagian Tanjung Karang dan 26 orang ahli Umno dari negeri Pahang.

“Antara kesalahan mereka ialah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional dan terlibat membantu parti lawan ketika PRU-15,” kata Ahmad Maslan dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Johor yang baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram