SESEORANG ahli politik selalunya dianggap sebagai hero ketika menjadi pembangkang, apabila mereka bersuara tentang dasar kerajaan yang tidak dipersetujui rakyat.
Namun, sifat penyelamat itu seolah-olah hilang apabila mereka sendiri menjadi menteri, yang mana ketika itu baru mereka menyedari tentang kesukaran menjadi pemimpin di blok kerajaan.
Umum mengetahui tentang kelantangan Mohd Rafizi Ramli sebagai ahli politik yang dianggap 'juara debat' apabila mengkritik pemimpin lain ketika menjadi pembangkang.
Tetapi, belum cukup 100 hari selepas mengangkat sumpah menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi menjadi bahan kecaman menerusi kenyataan-kenyataan yang dianggap tidak boleh diguna pakai oleh kebanyakan rakyat di negara ini.
Berikut merupakan antara formula-formula Rafizi yang dianggap tidak kena dalam usaha untuk menyenangkan hidup rakyat selepas ini:
1. Jangan makan ayam kalau ayam mahal
Kenyataan Rafizi yang meminta rakyat mengurangkan makan ayam mendapat kecaman pada tahun lalu.
Rafizi menjadi bahan kecaman netizen susulan kenyataannya bahawa, para pengguna sepatutnya mengurangkan makan ayam sekiranya harga ayam terlampau mahal.
Video rakaman sidang media Ahli Parlimen Pandan itu yang memaparkan kenyataan mengenai isu kekurangan bekalan ayam tular di media sosial sejak Disember tahun lalu.
Antara yang turut menjadikan kenyataan itu sebagai ‘bahan’ adalah pengendali laman Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pengendali berkenaan mendakwa kecaman yang diterima Rafizi itu adalah sama dengan kenyataan "Jika kangkung mahal, jangan makan kangkung" yang dibuat Najib berhubung isu harga barang ketika beliau menerajui kerajaan sebelum ini.
2. Boikot kedai jual makanan mahal
Rafizi menasihatkan pengguna mengelak berkunjung ke restoran dan kedai makan yang masih menawarkan harga makanan dan minuman yang tinggi.
Bulan ini, Rafizi sekali lagi menerima kecaman, apabila menggesa peniaga restoran dan kedai makan menyemak harga jualan supaya seimbang dengan harga bahan mentah yang kini telah turun.
Memetik laporan Bernama, beliau juga menasihatkan pengguna mengelak berkunjung ke restoran dan kedai makan yang masih menawarkan harga makanan dan minuman yang tinggi.
Selain netizen, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut membidas saranan tersebut dengan menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.
Katanya, kerajaan sepatutnya berusaha untuk membantu pemilik restoran dan kedai makan mendapatkan bahan mentah dengan harga yang lebih murah.
3. Kenaikan OPR
Tangkap layar video Rafizi ketika ditemubual wartawan baru-baru ini.
Ketika ditanya pemberita tentang kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebelum ini, Rafizi berkata, perkara tersebut perlu ditanya kepada Bank Negara.
"Kita nak pastikan adanya imbangan kuasa dalam menguruskan ekonomi bukan di tangan ahli politik semata-mata.
"Bila ditanya OPR boleh turun ke tak, itu memberi gambaran ahli politik mengawal 100 peratus ekonomi," katanya menerusi video tular.
Memang benar OPR di bawah kuasa Bank Negara, namun jawapan tersebut menimbulkan tanda tanya rakyat apabila beliau didakwa bermain dengan persepsi tentang kadar OPR dengan menyalahkan kerajaan sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram