ISU harga bekalan khinzir yang dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet pada Rabu menjadi perhatian warganet kerana sepatutnya ada masalah lain lebih serius yang belum selesai.
Bagi orang ramai, isu-isu lebih mustahak seperti kekurangan bekalan ayam dan telur sewajarnya lebih menjadi keutamaan dan perlu jalan penyelesaian segera.
Apatah lagi dengan kehadiran sambutan Tahun Baharu Cina (Januari) dan Hari Raya Aidilfitri (April), namun isu bekalan ayam dan telur hanya dijangka akan selesai kira-kira enam bulan lagi.
Seorang warganet, Azizi Safar berkata, ramai yang tergelak sampai terduduk bila mendengar berita cadangan penstabilan harga daging dan khinzir yang menjadi perbincangan dalam Mesyuarat Kabinet.
"Tergelak sebab masalah bekalan dan harga telur ayam masih belum dapat diselesaikan kerajaan.
"Sampai hari ini belum ada cadangan daripada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkenaan bagaimana nak bagi ayam bertelur banyak semula," katanya.
Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub mengumumkan cadangan untuk mengawal kestabilan harga daging babi, menjelang Tahun Baru Cina pada 22 Januari depan, akan dibawa untuk perbincangan mesyuarat kabinet pada Rabu.
Perkara itu diumumkan selepas mesyuarat KPDN dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) pada Selasa.
Selain itu, Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi sebelum ini menjadi tumpuan ramai selepas mencadangkan supaya rakyat berhenti daripada membeli ayam sekiranya harga makanan asas itu terlalu mahal di pasaran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram