'Saya tak puas hati', Sany tersinggung insiden di Dewan Rakyat, cubaan telefon Rafizi gagal


  • Politik
  • Sabtu, 07 Jan 2023

Sany akui sudah banyak kali menghubungi Rafizi namun tidak berbalas. — LOW LAY PHON/The Star

SIDANG Dewan Rakyat pertama pasca Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang diadakan pada 19 Disember lalu benar-benar menjadi tumpuan rakyat.

Ramai ingin melihat aksi pemimpin baharu kerajaan di Parlimen yang sebelum ini dikenali dengan keriuhan berbalas hujah masing-masing.

Namun, di sebalik muka Ahli Parlimen 'otai' yang masih tidak berubah sikap, ada juga pemimpin baharu dilihat seperti mewarisi sikap sama.

Salah seorang daripadanya ialah Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan, yang dilihat begitu lantang bersuara hingga menjadi tumpuan ramai.

Malah, disebabkan keriuhannya mencelah juga membuatkan dia ditegur oleh Menteri Kewangan, Rafizi Ramli semasa dewan sedang bersidang.

KUALA LUMPUR, 19 Dis -- Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohd Rafizi Ramli pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Rafizi (kanan) mahu Ahli Parlimen Pendang dan Hulu Langat keluar dewan jika mahu 'melalak'.

"Saya tidak akan memberi ruang kepada Pendang dan Hulu Langat untuk mencelah. Kalau Pendang dan Hulu Langat mahu bangun, saya silakan ke sebelah, boleh melalak sekuat-kuatnya di luar dewan," kata Rafizi pada 19 Disember lalu.

Perkara itu nyata tidak disenangi Sany yang menyifatkan kehadirannya di Parlimen kerana dipilih rakyat sama seperti Rafizi.

"Dia siapa? Kita menang kerana rakyat, kita bawa suara rakyat. Hanya Yang dipertua Dewan Rakyat boleh keluarkan kita dari dewan.

"Soal berapa banyak jumlah undi itu hal masing-masing. Tetapi kita jangan perlekeh kawan-kawan kita.

"Pada saya dia boleh tegur. Cuma, adakah kita menjerit, memekak dalam dewan adalah satu kesalahan? Sebelum ini pun sama saja," katanya.

Menurut Sany yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer, memang dia cukup terasa dan ingin sangat bertemu dengan Rafizi.

Malah, percubaannya untuk berhubung dengan Ahli Parlimen Pandan itu tidak berhasil walaupun sudah berkali-kali menghubunginya.

"Kalau dapat peluang (berjumpa), saya nak cakap saya tak puas hati. Dia bukan tak kenal saya. Kami dalam satu pakatan.

"Lagipun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ada bersemuka dengan saya dan beri teguran.

"Saya boleh terima walaupun saya orang baharu. Ada perbahasan, ada soalan. Apa yang penting kita bawa pandangan rakyat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram