'Sistem sekolah tak simpan maklumat?' ibu bapa letih kena isi borang BAP


  • Massa
  • Ahad, 15 Jan 2023

Murid-murid Sekolah Kebangsaan Tok Jembal, Kuala Terengganu, Terengganu teruja menerima BAP pada Januari 2015. — Gambar hiasan

IBU bapa sudah pasti dapat menarik sedikit nafas lega, apabila Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi sesi persekolahan 2022/2023 mula diagihkan kepada murid-murid mulai 12 Januari lalu.

Meskipun hanya bernilai RM150, namun jumlah itu sudah cukup meringankan beban ibu bapa bagi membeli barangan keperluan sekolah anak-anak mereka.

Bagi memupuk semangat ketika belajar, bantuan itu seterusnya mampu menggembirakan hati kebanyakan murid-murid yang tentu menginginkan pakaian dan barangan sekolah baharu.

Di sebalik keterujaan itu, masih ada dalam kalangan ibu bapa diminta mengisi borang BAP, meskipun sebelum ini Kementerian Pendidikan (KPM) menyatakan bahawa tiada sebarang borang atau dokumen perlu diisi sebelum menerima bantuan tersebut.

Bukan itu sahaja, mereka mendakwa masih terdapat birokrasi sebelum memperoleh bantuan persekolahan itu.

Malah, mereka turut mempertikaikan sistem digunakan oleh pihak sekolah bagi mengisi maklumat murid yang dilihat agak ketinggalan.

Wan Abby Ahmad menulis: "Macam biasa tiap tahun asyik details yang sama. Dalam sistem kan dah ada semua maklumat berkenaan, tak boleh go through situ ke?

"Semua nak manual. Cop-cop benda sama, salinan semua. Bukan merungut, cuba kita gunakan sistem yang lebih efisien. Zaman millenium dah ni pun."

template - 2023-01-15T201054.869

Tangkap layar komen ibu bapa berhubung BAP tahun ini.

Bersetuju dengan perkara itu, Nurul Jariah menulis: "Betul tu. Tiap-tiap tahun kena tulis borang yang sama je nak kena cop-cop. Hairan juga takkanlah data-data yang sebelum ini tidak disimpan?"

Tambah Hana Mika: "Setuju. Kalau yang anak ramai tu, jenuh isi borang tahu tak?"

file68pspy7zntd6le2dld3

Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah, Rompin, Pahang menerima baucar RM100 bagi Bantuan Awal Persekolahan pada Februari 2013. — Gambar hiasan

Terdahulu, KPM memaklumkan, peruntukan BAP itu dikreditkan ke akaun sekolah dan ia akan diagihkan secara tunai atau dikreditkan ke dalam akaun murid.

Katanya, sekolah diminta mengagihkan wang itu kepada murid sebaik sahaja menerima peruntukan itu.

"Tiada sebarang borang atau dokumen perlu diisi oleh murid atau ibu bapa sebelum menerima BAP.

"KPM juga tidak menyediakan sebarang talian khusus. Segala penjelasan lanjut berkaitan BAP boleh dirujuk melalui Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 20 Tahun 2020: Bantuan Awal Persekolahan di laman sesawang rasmi KPM," kata KPM.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat memaklumkan, kerajaan bersetuju menyalurkan BAP bernilai RM150 kepada semua murid, tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa, pada Januari 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram