KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa wang peruntukan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM109,000 yang dilarikan penjenayah dalam satu kejadian di pekan Semenyih, Selangor Isnin lalu, akan diganti dan diagihkan kepada murid sebelum sesi persekolahan bermula Mac depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mengakui ralat dengan kes itu berkata, KPM sedang menunggu kelulusan dan jawapan daripada Kementerian Kewangan (MOF) mengenai gantian tersebut.
"Duit yang hilang itu akan diganti. Jangan risau, itu hak anak-anak. Kita ralat dan kesal dengan kejadian ini berlaku tetapi pastinya keutamaan adalah hak anak-anak ini yang kita mesti serahkan kembali hak mereka," katanya.
Fadhlina berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Amanat Tahun Baharu bersama warga kementerian di Putrajaya pada Khamis.
Tambahnya, guru besar sekolah berkenaan juga akan disiasat mengikut tatatertib penjawat awam kerana berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kewangan sewaktu pengeluaran wang BAP.
KPM menyerahkan polis dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi menyiasat insiden berkenaan dengan JPN Selangor juga sudah bertemu dengan guru besar berkenaan dan akan mengumumkan hasil siasatan itu kemudian.
Sebelum, wang tunai BAP berjumlah lebih RM100,000 yang dikeluarkan seorang guru besar itu secara bersendirian dari sebuah banik dilarikan penjenayah di pekan Semenyih.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina menyeru orang awam atau guru supaya tidak berkongsi atau tularkan kejadian kes pergaduhan melibatkan pelajar, sebaliknya melindungi golongan tersebut bagi membantu membentuk ekosistem sihat dan selamat.
"KPM memegang teguh perlindungan kanak-kanak dari segi identiti dan sekolah kerana kejadian yang viral akan memberi kesan panjang," katanya.
Ditanya mengenai kejadian buli yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di Sabah pada Rabu, Fadhlina berkata JPN Sabah telah diarah mengambil tindakan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram