KPM siasat dakwaan ibu 3 anak terima Bantuan Awal Persekolahan berbeza


  • Primer
  • Jumaat, 20 Jan 2023

Kerajaan menetapkan pemberian BAP sebanyak RM150 kepada semua murid pada bulan ini tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menyiasat dakwaan berhubung pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang tidak mengikut kadar ditetapkan.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu susulan daripada video yang tular melalui aplikasi TikTok, membabitkan seorang ibu kepada tiga anak yang belajar di sekolah sama, tetapi menerima jumlah bayaran BAP berbeza.

"KPM akan menyiasat perkara itu dengan kerjasama pihak yang terbabit bagi mendapatkan maklumat lengkap.

"Tindakan tegas akan diambil jika wujud kebenaran seperti yang didakwa," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

KPM turut memohon kerjasama semua murid, ibu bapa atau penjaga untuk membuat aduan secara rasmi melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPM atau menghubungi talian 03-8884 6456.

Menurut kenyataan itu, semua butiran pengadu akan dirahsiakan demi menjaga kebajikan pihak yang membuat aduan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram