FORMAT Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) melibatkan pelajar sekolah didakwa terlalu sukar sehingga menyebabkan motivasi mereka untuk belajar menurun.
Perkara sama turut dinyatakan Pengasas Skolar Malaysia, Dr Mohamad Tazli Azizan apabila secara peribadi menyatakan rasa tidak setuju dengan pelaksanaan UASA.
"UASA mengembalikan pelajar kepada mood latih tubi dan drilling yang kita nak atasi sebelum ini.
"Selepas ini, pelajar akan kembali ke pusat-pusat tuisyen atau ada kelas tambahan hanya nak menjawab lebih elok bagi UASA dan ini defeat the purpose of alternative assessment dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
"Jadi Kementerian Pendidikan (KPM) kena jelas, nak PBD atau nak bagi peperiksaan macam dulu-dulu? Yang mana lebih penting untuk mendepani cabaran abad ke-21?" katanya kepada Majoriti.
Menurut Mohamad Tazli, dia juga setuju dengan kenyataan bahawa soalan UASA adalah syok sendiri yang susah.
Malah, anaknya juga mengakui perkara sama sedangkan sebelum ini boleh sahaja jawab ujian-ujian yang lain.
"Kalau nak pelajar boleh jawab soalan aras tinggi, aktiviti di dalam kelas juga perlu aras tinggi, baru ada pensejajaran.
"Kalau sekadar aktiviti chalk and talk, tidak menggalakkan pelajar untuk berfikir lebih mendalam tentang topik yang dibincangkan, membuat aplikasi, analisa, sesi berhujah di dalam kelas.
"Jadi bila keluar soalan UASA yang menilai aras sebegitu, KPM tidak berlaku adil dengan pelajar," katanya.
Tambahnya, dia juga ingin tahu apa yang cuba disampaikan oleh KPM melalui UASA sedangkan perkara itu tiada dalam blueprint pun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram