[VIDEO] Kes 'berbalas' kerusi besi di Siburan berpunca sebab tidak puas hati, kereta terhalang


  • Tular
  • Selasa, 24 Jan 2023

Tangkap layar pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di Siburan, Kuching, Sarawak.

SUSULAN kes pergaduhan sekumpulan lelaki di Siburan, Kuching, Sarawak pada Jumaat lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan laporan telah diterima daripada salah seorang mangsa kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abang Ahmad, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan objek tajam.

"Kes berkenaan turut disiasat di bawah seksyen 14 dan 427 Kanun yang sama atas kesalahan merusuh bersenjata serta perbuatan khianat.

"Belum ada sebarang tangkapan berjaya dilakukan setakat ini dengan polis kini sedang giat mengesan kesemua suspek yang terlibat," katanya.

Insiden itu difahamkan berlaku di kawasan parkir kereta berhadapan dengan sebuah pasar raya Tong Yang Siburan, Sarawak.

Punca sebenar kejadian difahamkan kerana isu tidak puas hati akibat kereta terhalang yang sekali gus mengundang kemarahan sebelah pihak apabila bertindak ganas di lokasi berkenaan.

Namun, kes tersebut masih di bawah siasatan pihak polis dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan kenyataan tidak berasas yang boleh menjejaskan siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram