BEBERAPA lelaki mengharungi detik getir apabila disamun dua lelaki bertopeng yang merompak dan mengganas di sebuah restoran sekitar Poh Kwang Park, Kuching, Sarawak pada Selasa.
Kejadian itu difahamkan berlaku pada lewat malam apabila seorang lelaki mula merampas beberapa barangan berupa duit dan dompet dipercayai milik pelanggan di premis berkenaan.
Tidak disedari mana-mana pihak, insiden tersebut berlaku secara tiba-tiba apabila lelaki berbadan gempal dan berbaju denim biru mula mengganas serta mencederakan seorang lelaki dipercayai pekerja restoran tersebut.
Meskipun cuba menghalang perbuatan suspek, lelaki terbabit kemudiannya dipukul dan dihempuk dengan sebuah kerusi plastik kerana desakan supaya menyerahkan wang tidak dipenuhi.
Dikongsikan di laman Facebook, video tular itu dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) restoran berkenaan.
Selain dompet, seorang pelanggan lelaki berputih mata apabila telefon pintarnya dirampas seorang lagi anggota geng perompak itu.
Menurut jurucakap Pejabat Polis Daerah Kuching, Sarawak, belum ada sebarang laporan lanjut diterima berhubung kejadian itu setakat ini.
"Setakat ini kami masih belum menerima sebarang laporan berkenaan kes tersebut, kejadian baru berlaku dan kami akan jalankan siasatan.
"Video tular berkenaan belum diterima dan harap siapa yang ada maklumat lanjut segera kemukakan laporan di balai berhampiran," katanya.
Dalam pada itu, disyaki tiga suspek terlibat dalam kejadian itu termasuk seorang individu dipercayai pemandu sedang menunggu rakannya di luar premis itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram