[VIDEO] Polis siasat kes samseng saling bertumbuk, hempuk guna kerusi besi di Siburan


  • Tular
  • Sabtu, 21 Jan 2023

Tangkap layar sekumpulan lelaki berkereta Saga mengganas di Siburan, Kuching, Sarawak.

SEKUMPULAN lelaki didakwa saling bergocoh di sebuah jalan raya berhampiran Siburan, Kuching, Sarawak pada Jumaat mengundang perhatian warganet.

Suspek yang dilihat menaiki sebuah kenderaan jenis Proton Saga itu terlebih dahulu memandu dengan laju di lokasi kejadian sebelum beberapa lelaki mula bertindak ganas dengan memukul beberapa individu di situ.

Menggunakan kerusi besi sebagai senjata, salah seorang lelaki tidak berbaju mula mengambil langkah apabila menghempuk serta memukul salah seorang lelaki ketika kejadian.

Insiden yang berlaku pada lewat malam itu dipercayai merupakan pergaduhan antara dua kumpulan samseng namun ia masih belum dapat dipastikan kesahihannya.

Rakaman tular itu hangat diperkatakan di laman media dan telah menerima lebih 300 perkongsian setakat ini.

Dalam pada itu, sebuah lagi kereta hitam kemudiannya meluru dan merempuh beberapa lelaki yang terlibat dalam pertelingkahan tersebut.

Tidak dihentikan mana-mana pihak, kedua-dua kenderaan itu beredar dari lokasi berkenaan susulan pelanggaran tersebut.

Di ruangan komen, Benidict Peter menggesa pihak kerajan mengambil tindakan keras terhadap isu pergaduhan samseng seperti itu.

"Pihak berkuasa harus ambil tindakan keras terhadap samseng bukan jatuh denda seribu dua sahaja, itu duit bawah laci kereta mereka sahaja sudah boleh bayar," katanya.

"Bikin semak sahaja kes gaduh samseng macam ini, malam tahun baharu Cina mereka pula sibuk bergaduh macam tiada undang-undang," jelas Vino Castelo.

"Ini samseng lembik, ada geng semua berani cuba kalau satu lawan satu berani ke nak bergaduh, berani kerana kawan, ramai kerana pondan," tambah Peter Petergena.

Dalam pada itu, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, Sarawak difahamkan masih belum menerima sebarang laporan berhubung video tular itu.

Menurut jurucakap polis, pihaknya akan menjalankan siasatan berkaitan video tular berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram