Enam termasuk 2 kanak-kanak maut nahas 2 kereta di Kluang


  • 112
  • Ahad, 22 Jan 2023

Keadaan salah satu kereta mangsa yang terbalik ketika nahas pada Ahad. — APM Kluang

ENAM termasuk dua kanak-kanak maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 71 Jalan Batu Pahat-Mersing, dekat Kluang, Johor pada Ahad.

Mangsa yang maut adalah Muhammad Adil Abdul Kadir, 22, Masrina Kahdar, 20, Muhammad Zharfan Noramin, 15, Muhammad Syakir Noramin, 10, dan Mohammad Ashraf Rafiq Abdullah, 10.

Seorang lagi mangsa, Siti Nurzannah Kahdar, 25, meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) di Kluang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd Noh berkata, kejadian pada pukul 5.08 petang itu melibatkan kereta Perodua Myvi dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati, Perodua Myvi yang dinaiki lapan penumpang dari arah Kluang menghala ke Kahang, manakala Honda Stream dinaiki tiga orang dari arah bertentangan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan. Perodua Myvi kemudian melanggar Honda Stream sebelum Honda Stream berkenaan terbalik dan jatuh ke kawasan lapang di bahu jalan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

326200700_711947467219814_4265855536886452263_n

Antara mangsa yang tidak sempat diselamatkan di lokasi kejadian. — APM Kluang

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, lima mangsa yang menaiki Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga cedera.

"Tiga penumpang Perodua Myvi yang cedera ialah Mohd Sharizan Syafandi, 24; Nur Annalesha Rania Mohammad Arifin, 6, dan Siti Nurzannah (meninggal dunia).

"Siti Nurzannah, Masrina, Muhammad Zharfan dan Muhammad Syakir Noramin merupakan adik beradik manakala Zulkeflly dan Kamariah adalah pasangan suami isteri manakala Ariana Nur Batrisyah adalah anak mereka," katanya.

325386999_508047048133050_2113608488346758332_n

Anggota penyelamat membawa mangsa ke hospital. — APM Kluang

Menurutnya, tiga mangsa menaiki Honda Stream iaitu sepasang suami isteri, Zulkeflly Zakariah, 54, (pemandu) dan Kamariah Yusoff, 47, serta anak mereka, Ariana Nur Batrisyah, 13.

"Pemandu dan penumpang Perodua Myvi beralamat di Muar, Selangor, Kuala Lumpur, Arau, Perlis, Hulu Langat, Layang Layang.

"Pemandu dan penumpang Honda Stream pula kesemuanya berasal dari Batu Pahat," katanya.

Katanya, kesemua mangsa yang cedera masih menerima rawatan di zon kuning dan merah di HEBHEK.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Shamsul Amri Mohd Shahab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada jam 4.40 petang.

Susulan itu katanya, sembilan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke tempat kejadian.

"Pihak bomba mengeluarkan seorang mangsa dalam MPV Honda Stream menggunakan peralatan khas sebelum dihantar ke Hospital Kluang menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

"Mangsa lain yang terlibat telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba sampai di lokasi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram