SEKURANG-KURANGNYA 32 terkorban dalam nahas sebuah pesawat terhempas di Nepal pada pagi Ahad.
Pesawat Yeti Airline itu membawa 68 penumpang dan empat anak kapal apabila ia terhempas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pokhara.
Difahamkan, dua bayi manakala 10 warga asing antara yang berada di dalam pesawat terbabit.
Perdana Menteri, Pushpa Kamal Dahal memanggil anggota Kabinetnya untuk mengadakan mesyuarat tergempar selepas nahas itu, selain mengerahkan anggota keselamatan segera membantu usaha menyelamat.
Beliau berkata, pesawat tersebut sedang melakukan penerbangan dari ibu negara, Kathmandu ke Pokhara ketika ia terhempas.
"Pasukan penyelamat sudah dihantar ke lokasi nahas melalui helikopter," tulis media antarabangsa.
Jurucakap tentera, Krishna Bhandari tidak menolak kemungkinan bahawa lebih banyak mangsa korban akan ditemui.
"Pesawat tersebut didapati musnah sehingga pihak penyelamat menemui serpihan-serpihannya di lokasi kejadian," katanya.
Video nahas pesawat terhempas itu yang tular di media sosial memaparkan api dan asap berkepul-kepul keluar susulan tragedi itu.
Orang ramai dilihat berkumpul di kawasan pesawat itu terhempas, manakala ada juga dilihat memberi bantuan kepada mangsa yang cedera.
Cuaca yang tidak menentu di Nepal, yang mana negara itu memiliki lapan daripada 14 gunung tertinggi di dunia, termasuk Everest, menjadikan keadaan udara berbahaya kepada penerbangan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram