[VIDEO] Teruja bertukar tragedi, detik akhir sebelum pesawat terhempas disiar FB Live


  • Benua
  • Rabu, 18 Jan 2023

Tangkap layar video Sonu Jaiswal membuat live di Facebook sebelum pesawat Yeti Airlines terhempas pada Ahad.

SATU rakaman video tular dalam media sosial memaparkan detik-detik terakhir penumpang berada di dalam pesawat Yeti Airlines sebelum ia terhempas dan mengorbankan lebih 70 orang pada Ahad.

Sekumpulan empat rakan daripada lima penumpang warga India yang maut dalam nahas itu, dilaporkan sempat melakukan live di Facebook, beberapa minit sebelum pesawat itu terhempas di gaung semasa cuba mendarat di lapangan terbang di Pokhara, Nepal.

Lapor CDN, empat mangsa itu dikenal pasti sebagai Sonu Jaiswal, Anil Rajbhar, Abhishek Kushwaha dan Vishal Sharma serta berasal dari daerah Ghazipur di Uttar Pradesh.

Dalam klip video berdurasi seminit 30 saat itu, empat rakan tersebut dilihat berasa teruja berkongsi pengalaman penerbangan, dengan seorang daripada mereka didengari ketawa.

Rakaman video itu turut memaparkan Sonu sedang merakam pemandangan di luar tingkap pesawat.

Dalam video tersebut, logo Yeti Airlines kelihatan pada sayap kapal terbang itu dan iklan insuran Nepal dilihat pada belakang tempat duduk penumpang dalam pesawat.

Pesawat itu dilihat mendarat normal sebelum skrin video Sonu secara tiba-tiba bertukar menjadi jingga dengan kedengaran jeritan penumpang ketika kabin pesawat bergegar.

Rakaman itu terus bersiaran ketika kedengaran bunyi dentuman kuat sebelum kabin pesawat terbakar.

Sementara itu, Times of India melaporkan, seorang ahli keluarga mangsa, Rajat Jaiswal mengesahkan Sonu berada dalam pesawat Yeti Airlines yang terhempas.

Kejadian itu berlaku ketika pesawat yang membawa 72 penumpang termasuk empat anak kapal dari Kathmandu cuba mendarat di lapangan terbang yang baru dibuka.

Dilaporkan, seramai 15 warga asing membabitkan lima warga India, empat rakyat Russia, dua warga Korea Selatan dan masing-masing seorang dari Ireland, Australia, Perancis serta Argentina.

Sebahagian bangkai pesawat itu berada di lereng bukit, manakala sebahagian lagi terhempas ke dalam gaung di Sungai Seti.

Setakat ini, punca kejadian itu masih dalam siasatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram