[VIDEO] Enam motor Y15 'bersepah' lumba haram, seorang remaja maut di Alor Pongsu


  • 112
  • Ahad, 15 Jan 2023

Keadaan mangsa yang terlibat nahas enam buah motosikal dipercayai ketika berlumba di Kilometer 187.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Alor Pongsu.

SEAKAN-AKAN tidak pernah serik walaupun sudah berulang kali terjadinya kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal yang berpunca daripada kegiatan lumba haram.

Tragedi ini berulang kembali pada awal pagi Ahad apabila seorang penunggang motosikal maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan yang dipercayai berpunca daripada kegiatan lumba haram di KM187.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Alor Pongsu, Perak.

Nahas jalan raya itu mengorbankan mangsa berusia 20 tahun di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 1.50 pagi tadi berkaitan kemalangan yang melibatkan enam motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Plaza Tol Alor Pongsu menghala ke Bukit Merah.

Beliau berkata, lelaki yang berumur 20 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima penunggang yang lain mengalami pelbagai kecederaan.

"Kesemua yang cedera dibawa ke Hospital Taiping dan Parit Buntar bagi menerima rawatan manakala lelaki yang maut dibawa ke Hospital Parit Buntar bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Yusri berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, dan beliau selain meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan di talian 057210539 atau 0136200564.

Dalam pada itu Mohd Yusri menasihati pengguna jalan raya terutama golongan remaja agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan lumba haram.

“Tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 42(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Sebelum ini media pernah melaporkan, empat penunggang motosikal maut dalam kemalangan disyaki terlibat dalam aktiviti lumba haram di Pulau Pinang.

Kemalangan itu dipercayai berlaku selepas beberapa penunggang motosikal hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain serta merempuh dua buah kenderaan jenis Perodua Myvi dan Proton Waja dari arah belakang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram