[VIDEO] Kawan baik didakwa sabotaj, pecahkan tingkap lori kerana hilang 'customer'


  • Tular
  • Sabtu, 21 Jan 2023

Tangkap layar pergaduhan membabitkan dua lelaki dipercayai akibat perselisihan faham dalam perniagaan.

HASAD dengki dan sifat tamak dalam perniagaan sememangnya boleh mengundang pelbagai perkara buruk susulan sikap sesetengah pihak yang mementingkan diri sendiri.

Hubungan kekeluargaan, jiran tetangga mahupun rakan karib sekali pun tidak akan mampu bertahan sekiranya ada pihak yang sanggup menikam dari belakang kerana terlalu mementingkan diri.

Situasi itu boleh digambarkan menerusi satu video tular yang memaparkan detik tragis dilalui seorang pemandu lori lelaki yang dikecam rakan karibnya sendiri kerana perselisihan faham dalam perniagaan yang dijalankan di Dungun, Terengganu pada Khamis.

Difahamkan, insiden itu berlaku akibat harga perkhidmatan lori yang ditawarkan tidak disenangi pemandu lain.

Menurut isteri mangsa, Nisa Suhaila berkata, suaminya baru sahaja memulakan perkhidmatan sewa logistik dan tidak menyangka akan berhadapan dengan situasi itu.

Jelasnya di ruangan komen, suaminya sengaja meletakkan harga yang lebih rendah berbanding pemandu lain kerana memiliki saiz lori yang lebih kecil namun tanpa disedari, perkara itu tidak disenangi rakan karib suaminya yang juga menjalankan perniagaan perkhidmatan logistik.

Berdasarkan rakaman tersebut, mangsa menjelaskan bahawa dia tidak tahu pesanan yang diterima adalah pelanggan asal kepada rakannya.

Enggan menerima penjelasan tersebut, suspek mendakwa perkara itu telah menjejaskan periuk nasinya sebelum bertindak ganas memecahkan tingkap bahagian hadapan lori mangsa dengan pengetuk.

"Tak boleh main cantas-cantas, betul rezeki masing-masing tapi kalau ramai yang buat macam itu lagi ramai la yang akan cantas pelanggan orang, cuba kamu duduk di tempat saya," ujar suspek ketika kejadian.

Mengulas lanjut berhubung insiden tersebut, mangsa difahamkan meletakkan harga sebanyak RM150 dalam perkhidmatan penghantaran yang dijalankan berbanding rakannya yang mengenakan harga RM300.

Tidak mengambil sebarang tindakan keras, mangsa difahamkan akan membuat laporan polis berhubung kes khianat tersebut sambil mengharapkan agar kejadian itu tidak berulang kembali.

Majoriti telah menghubungi mangsa namun masih belum ada sebarang maklum balas diterima setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram