[VIDEO] Pekerja Nepal mogok, bikin kecoh di Bentong gara-gara masalah gaji, dedah polis


  • Tular
  • Rabu, 18 Jan 2023

Tangkap layar sekumpulan pekerja warga Nepal melakukan rusuhan di Amber Court, Genting Highlands, Pahang yang mula tular sejak Isnin.

SEBUAH video memaparkan insiden mogok sekumpulan pekerja Nepal di Amber Court, Genting Highlands, Pahang baru-baru ini sebenarnya berpunca akibat isu gaji dan tidak puas hati pekerja di sebuah syarikat penginapan hostel di situ.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar mengesahkan kejadian tersebut selepas menerima panggilan telefon daripada orang awam yang melaporkan ratusan warga asing berkumpul dan melakukan rusuhan yang diketuai dua lelaki dipercayai merupakan 'dalang' dalam kejadian itu.

Sebaik polis tiba di lokasi kejadian, katanya, didapati hampir 200 orang pekerja asing yang terlibat dalam rusuhan tersebut.

Meskipun cuba dihentikan oleh pihak polis, jelas beliau, situasi kian keruh apabila dua individu berkenaan mula melakukan kekasaran dan tidak memberikan kerjasama kepada pihak polis.

"Hasil siasatan polis, berlaku perselisihan faham melibatkan pihak syarikat dan juga pekerja terbabit dengan punca utama kejadian berkenaan difahamkan berlaku akibat isu gaji dan jadual kerja yang tidak dipersetujui ramai.

"Pihak polis berjaya mengawal situasi berkenaan dan kedua belah pihak diminta untuk menyelesaikan isu terbabit secara baik," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Zaiham memberitahu, kejadian tersebut sebenarnya berlaku pada 3 Januari lalu, namun rakaman itu kian hangat diperkatakan selepas ia mula tular di laman media sejak Isnin.

"Polis memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan perkara itu telah pun diselesaikan.

"Pemantauan di lokasi kejadian juga akan dijalankan secara berkala bagi mengelakkan insiden berkenaan berulang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram