[VIDEO] Potong tali helmet berkunci, polis dedah modus operandi sindiket curi topi keledar di Kluang


  • Tular
  • Rabu, 18 Jan 2023

Tangkap layar sindiket curi topi keledar yang didalangi dua suspek di Kluang, Johor.

TINDAKAN dua lelaki yang menjalankan kegiatan sindiket curi topi keledar di ruang parkir sebuah pasar raya dekat Kluang, Johor pada Selasa kini dalam buruan polis.

Ketika kejadian, kedua-dua suspek yang dipercayai menunggang motosikal jenis Ego Avantiz itu terlebih dahulu dilihat sedang berbual di situ.

Mempamerkan taktik modus operandi potong tali topi keledar, tindakan mereka tidak disedari mana-mana pihak sekali gus memberikan kelebihan buat si pelaku.

Bijak mencuri peluang terhidang, kedua-dua suspek tersebut berjaya melarikan topi keledar berkenaan kurang dari tempoh dua minit sahaja.

Ketua Polis Daerah Kluang, Superintendan Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan sedang dijalankan berhubung kes tersebut.

"Laporan kes berkenaan telah diterima dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya dalam satu kenyataan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram