[VIDEO] Geng perompak berjubah, 'paw' rokok Dunhill di Kuching kini diburu


  • Tular
  • Sabtu, 14 Jan 2023

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki berjubah didakwa merompak sebuah premis 24 jam di Kuching, Sarawak pada Jumaat.

TIGA lelaki dipercayai terlibat dalam satu kes rompakan samun di sebuah kedai serbaneka 24 jam dekat Kuching, Sarawak pada Jumaat.

Salah seorang daripada suspek dilihat mengenakan pakaian jubah dan bertopi keledar hitam manakala identiti dua lagi suspek jelas dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) premis terbabit.

Ketika kejadian, lelaki berjubah itu terlebih dahulu dilihat memasuki ke premis berkenaan dan meluru ke kaunter juruwang untuk membuat bayaran.

Namun, situasi mula berubah apabila tertuduh secara tiba-tiba mengeluarkan sebilah parang dan mengacukan kepada juruwang terbabit.

Suspek kemudiannya dipercayai mengugut mangsa untuk menyerahkan duit dari mesin juruwang sambil disaksikan dua lagi individu dipercayai ahli kumpulan mereka.

Dalam pada itu, suspek turut merampas beberapa kotak rokok jenama Dunhill daripada mangsa dan sekali lagi meminta wang tambahan sebelum beredar dari premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kes samun bersenjata tersebut.

Menurut beliau, pihaknya telah menerima laporan kes insiden terbabit pukul 4 petang pada hari kejadian.

"Laporan sah telah diterima dan kes dibuka di bawah Sekysen 395/397 Kanun Keseksaan Kes Samun.

"Gerakan mengesan suspek kini sedang giat dijalankan oleh pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching," katanya dalam satu kenyataan.

Tiada kecederaan dilaporkan berlaku dan sehingga kini masih belum ada sebarang tangkapan dilakukan pihak polis berhubung kes tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram