Hasrat abang hadiahkan telefon tak kesampaian, adik ditemui tak bernyawa dekat rumah di Menggatal


  • 112
  • Sabtu, 21 Jan 2023

Abu Sabir duduk di sisi jasad adiknya yang sudah tidak bernyawa.

HASRAT seorang abang untuk menghadiahi adiknya sebuah telefon bimbit tidak kesampaian apabila ahli keluarganya itu sudah meninggal dunia.

Dalam kejadian pada Jumaat, Abu Sabir Abdullah, 18, baru pulang dari tempat kerjanya, di Kota Belud, Sabah, iaitu kira-kira 70 kilometer (km) ke kediamannya di Kampung Delima, dekat Menggatal.

Kepulangan Abu Sabir itu bagi memberi kejutan kepada Abdul Rahman Mohd Said, 15, dengan telefon bimbit baharu.

Namun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila ahli keluarga memberitahu Abu Sabir bahawa adiknya sudah meninggal dunia.

Dia sebaliknya hanya mampu menangis di sisi jasad Abdul Rahman yang tidak bernyawa.

Mayat Abdul Rahman ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam semak berpaya kira-kira 200 meter dari kediaman keluarga mereka.

Remaja itu disyaki terkena renjatan elektrik, hasil daripada penyambungan kuasa secara haram.

"Beberapa hari lalu, adik menghubungi saya untuk memberitahu telefon bimbitnya rosak dan meminta saya membelikannya yang baharu.

"Saya memberitahunya saya mungkin akan pulang pada Khamis, tetapi tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa saya tidak akan bertemu dengannya lagi," kata Abu Sabir ketika ditemui pemberita pada Jumaat.

Katanya, Abdul Rahman merupakan adik tirinya, namun menganggap arwah sebagai darah dagingnya.

"Saya sangat rapat dengannya, ke mana sahaja saya pergi saya akan bawa dia.

"Tetapi, selepas mendapat pekerjaan di Kota Belud hampir setahun lalu, kami hanya berhubung melalui telefon.

"Apabila dia memberitahu saya tentang telefon itu, saya akan cuba mendapatkannya dan memberikan kepadanya apabila saya pulang. Tetapi, malangnya saya tidak dapat memenuhi permintaannya," tambahnya sambil menangis meskipun berusaha mengawalnya.

Terdahulu, penduduk kampung menemui mayat Abdul Rahman pada pukul 8 pagi Jumaat sebelum memaklumkan kepada keluarga mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (QEH I) mendapati, arwah meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik.

Pada masa sama, beliau berkata, unit forensik dari polis kontinjen Sabah sedang menyiasat punca kematian itu.

"Setakat ini kami tidak menemui sebarang unsur jenayah tetapi siasatan masih diteruskan," katanya.

Mohd Zaidi berkata, kejadian itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut buat masa ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram