[VIDEO] Potong 'double line', identiti seorang daripada 2 rentung kereta bertembung lori dikenal pasti


  • 112
  • Sabtu, 14 Jan 2023

Keadaan sebuah kereta yang musnah terbakar akibat bertembung dengan lori di Jalan Jerantut-Temerloh, Pahang pada Sabtu. — Facebook

DUA lelaki rentung selepas kereta dinaiki mereka terbakar akibat kemalangan dengan sebuah lori muatan tanah di jalan utama Kampung Dato’ Sharif Ahmad di KM28 Jalan Jerantut-Temerloh, Pahang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi.

Beliau berkata, identiti pemandu kereta sedang dikenal pasti manakala penumpang hadapan ialah seorang lelaki berusia 35 tahun yang berasal dari Kampung Pinang Mukim Sok, Sik, Kedah.

Menurut Mohd Azhar, siasatan awal mendapati, kereta berkenaan yang dari arah Temerloh menghala ke Jerantut dipercayai memotong di garisan berkembar dan dirempuh lori dari arah bertentangan.

"Kereta itu kemudian diseret lebih kurang 20 hingga 30 meter dan terbakar. Pemandu dan penumpang gagal diselamatkan kerana tersepit di dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Azhar berkata, pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu menghubungi Pegawai Penyisat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh Inspektor Nizam di talian 019-2343449 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang memaklumkan, operasi memadam kebakaran disertai 19 anggota serta pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau dan Temerloh selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.48 pagi.

Beliau berkata, kereta berkenaan terbakar sepenuhnya manakala kepala lori sebanyak 80 peratus.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram