Mayat tak cukup sifat dalam bagasi hitam di Rawang dipercayai kena bunuh 12 jam lebih awal


  • 112
  • Khamis, 19 Jan 2023

Penemuan mayat yang dipotong-potong dalam bagasi di Rawang pada Selasa mengejutkan ramai pihak. — PDRM

MAYAT seorang lelaki yang ditemukan dalam bagasi di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Rawang Selatan, Selangor pada Selasa dipercayai dibunuh kira-kira 12 jam sebelum dibuang di lokasi berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, bedah siasat mendapati mangsa sudah dibunuh terlebih dahulu sebelum ditinggalkan dalam keadaan tersebut.

"Setakat ini, mangsa dipercayai warga asing berdasarkan pemeriksaan mendapati tiada tanda suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin)," katanya ketika sidang akhbar di IPD Sungai Buloh, Selangor pada Khamis.

Dalam masa sama, Sasikala turut berkata, sesiapa yang kehilangan ahli keluarga sebelum ini untuk membuat laporan polis secepat mungkin.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar pula berkata, setakat ini, hanya seorang saksi dirakam percakapan berkaitan kes terbabit.

Pada Selasa, media melaporkan polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat berkenaan pada pukul 11.45 pagi dalam sebuah bagasi yang ditinggalkan.

Shafa’aton dilaporkan berkata, pemeriksaan di dalam bagasi berkenaan ada terjumpa serpihan potongan badan iaitu mayat tanpa kepala dan kedua-dua belah tangan serta kaki.

Keadaan mayat dipotong dari bahagian pinggang ke atas serta tiada dokumen pengenalan diri dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram