Mayat separuh bogel pakai kain sarung ditemukan dalam guni putih tepi jalan di Klang


  • 112
  • Jumaat, 13 Jan 2023

Pihak polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima aduan daripada orang ramai. — PDRM

MAYAT seorang lelaki yang mulai mereput ditemukan di dalam sebuah guni di tepi jalan sekitar Alam Perdana, Klang, Selangor pada petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pada kira-kira 6.10 petang, pihaknya menerima aduan berkenaan satu mayat yang ditemukan orang awam di dalam guni berwarna putih di tepi Jalan Persiaran Aman Perdana 1, Aman Perdana, Klang.

"Siasatan awal yang dijalankan mendapati mayat dalam keadaan berbungkus di dalam guni putih dan keadaan mayat telah mulai mereput. Mayat itu tidak dapat dikenal pasti bangsanya.

"Keadaan mayat hanya memakai kain sarung berwarna biru tanpa berbaju dan dihantar ke Hospital Shah Alam bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Supritendan You Swee Leong menerusi nombor telefon 012-4071452 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara (03-32912222) atau mana-mana balai polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Klang, Mayat, Jenayah, Guni, Maut, Lelaki, Polis, Shah Alam, Selangor