Bukan rakyat Malaysia, polis rakam keterangan saksi jumpa mayat misteri dalam bagasi hitam


  • 112
  • Khamis, 19 Jan 2023

Sebuah beg hitam berisi mayat tak cukup sifat dijumpai di kilometer 447 Lebuhraya PLUS dekat Rawang Selatan pada Selasa . — Bernama

POLIS selesai merakam keterangan seorang saksi berhubung penemuan satu mayat tidak cukup sifat dan sebuah beg hitam oleh orang awam di kilometer 447 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berhampiran susur Rawang Selatan, Selangor pada Selasa.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, rakaman percakapan saksi orang awam yang menemukan mayat itu diambil pada pukul 4.30 petang hari yang sama.

"Selain itu, hasil bedah siasat terhadap mayat yang dijumpai mendapati, si mati merupakan seorang lelaki bukan warganegara Malaysia dan punca kematiannya dipercayai akibat pelbagai kecederaan kesan senjata tajam.

"Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti identiti sebenar si mati,” katanya.

Terdahulu, satu mayat tidak cukup sifat dan sebuah beg hitam ditemukan orang awam di Kilometer 447 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berhampiran susur Rawang Selatan.

Ketika ditemukan, mayat itu tidak mempunyai kepala, tangan dan kaki, namun kepala, sepasang kaki dan tangan di dalam beg hitam yang ditemukan disyaki milik mangsa. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram