TINDAKAN Khairy Jamaluddin memuji dua ahli Umno yang memfailkan aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung isu usul tambahan nampaknya tidak disenangi segelintir pihak.
Tampil membidas, Ahli Majlis Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, aduan berkaitan usul tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti itu sepatutnya dikemukakan oleh pemimpin lebih berkuasa dalam Umno.
Beliau juga secara sinis menegur pemimpin tertentu supaya tidak menggunakan orang bawahan untuk menjayakan agenda mereka.
"Berani atau dipergunakan? Sepatutnya orang ataslah yang buat aduan. Itu baru berani namanya.
"Jangan guna orang bawah apatah lagi kalau bekas pegawai sendiri. Itu waras ke?" soalnya dalam hantaran di laman Facebook pada Sabtu.
Terdahulu, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda Umno memuji tindakan dua ahli Umno yang memfailkan aduan kepada RoS, berhubung usul tambahan yang diluluskan ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 pada hujung minggu lalu.
"Syabas kawan-kawan. Masih ada yang berani dan waras dalam Umno.
"Saya yakin dengan kredibiliti RoS dalam menentukan sama ada terdapat penyelewengan dalam usul Rembau semasa perhimpunan agung," katanya.
Pada Jumaat, ahli parti dari Terengganu, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir, membuat laporan kepada RoS, yang mendakwa usul itu, yang diterima pakai pada PAU telah melanggar peraturan parti.
Beliau berkata, Fasal 9.3 dalam Perlembagaan Umno menyatakan bahawa, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden mesti dipilih pada mesyuarat bahagian setiap tiga tahun.
"Ini bagi memastikan demokrasi hidup dan sihat dalam Umno," katanya.
Aduan yang sama dibuat oleh seorang ahli Umno Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom yang menegaskan bahawa, beliau tidak diarahkan untuk membuat aduan tetapi berbuat demikian untuk melaksanakan haknya sebagai ahli parti.
Notis itu diserahkan kepada Ketua Pengarah RoS, Mohd Nawardi Saad.
Pada PAU 2022 minggu lepas, perwakilan bersetuju dengan usul supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.
Ini bermakna Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan akan kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Umno, masing-masing untuk sepenggal lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram