TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau tidak tahu bahawa wakil dari Umno Rembau membuat usul agar jawatannya dalam parti tidak dipertandingkan.
Jelas Mohamad, beliau sendiri tidak sedar bahawa pembahas mewakili Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin akan membuat usul berkenaan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada Jumaat.
“Saya sendiri terpinga-pinga. Saya pun tak tahu. Saya sibuk. Saya bangun kerana lihat orang bangun, saya bukan bangun kerana menyokong,” kata Mohamad dalam sidang akhbar pada Sabtu.
Sabtu lalu, sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden Umno di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur kecoh selepas terdapat antara kalangan perwakilan tidak puas hati terhadap usul tersebut.
Selain itu, bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin juga melahirkan rasa hairan akan penambahan usul dibentangkan Mohd Shukri yang merupakan orang Rembau.
Ini kerana katanya, Timbalan Presiden Umno iaitu Mohamad adalah Ketua Umno Bahagian Rembau.
“Jadi usul ini (tidak ada pertandingan jawatan nombor 1 dan 2) sedang dibahas tapi mendapat tentangan hebat daripada beberapa pembahas Wilayah Persekutuan, Johor yang masih berani untuk menghormati kehendak perwakilan supaya demokrasi dapat dijalankan seperti biasa dalam parti Umno," katanya.
Menjawab akan perkara itu, Mohamad Hasan yang juga dikenali sebagai Tok Mat berkata, parti tersebut mengamalkan demokrasi dan menerima sebarang percanggahan pendapat.
"Dalam parti ini, kami mengamalkan demokrasi dan jika mempunyai pandangan yang berbeza, janganlah dituding itu dan ini. Lebih baik untuk kita cuba dan yakinkan mereka untuk kembali," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram