[VIDEO] Macam sindiket, geng peminta sedekah kanak-kanak tunjuk aksi langsi di Kota Kinabalu


  • Tular
  • Rabu, 11 Jan 2023

Tangkap layar sekumpulan kanak-kanak menjalankan kegiatan minta sedekah di Kota Kinabalu, Sabah.

TINDAKAN sekumpulan kanak-kanak lelaki yang meminta sedekah di sebuah jalan dekat Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa mengundang perhatian ramai dengan wujud dakwaan bahawa aktiviti itu dipercayai didalangi sindiket.

Ketika kejadian, kanak-kanak terbabit dilihat tenang bergayut pada sebuah kenderaan van putih yang turut melalui kawasan di situ.

Menggunakan van tersebut sebagai kenderaan tumpangan, mereka kemudiannya turun sebaik tiba di sebuah lokasi yang ingin dituju dan bertindak mengetuk tingkap kereta pemandu secara rawak di lokasi terbabit.

Susulan perbuatan itu, kanak-kanak terbabit dipercayai meminta wang sedekah daripada pemandu di lokasi tersebut.

Meskipun permintaan mereka tidak dilayan, perkara itu nyata tidak mengundang masalah besar buat mereka apabila dilihat meneruskan larian dan menuju ke kenderaan lain pula selepas itu.

Berdasarkan beberapa laporan media, kes berkenaan bukan kali pertama berlaku di Kota Kinabalu dengan insiden serupa pernah dilaporkan pada Disember tahun lalu.

Difahamkan, majoriti kumpulan tersebut terdiri daripada suku Palauh iaitu kumpulan masyarakat tanpa dokumen yang secara tradisinya menghuni kawasan pesisir laut dan pulau di pantai timur Sabah.

Pembabitan mereka dalam aktiviti seperti meminta sedekah dan berkeliaran di kawasan tumpuan ramai telah memberikan imej negatif buat penduduk di sekitar kawasan tersebut.

Susulan itu, kerajaan Sabah difahamkan sedang dalam proses mewujudkan Pusat Perlindungan Sementara bagi menyelamatkan kanak-kanak jalanan yang berkeliaran dan meminta sedekah di lokasi terkesan.

"Kes ini masih lagi berlarutan dan tiada penyudahnya, macam geng sindiket pun ada, macam-macam tindakan diambil pihak berkuasa tapi masih lagi terjadi," kata Irwan Firdaus.

"Sekarang memang masih kecil, tunggu la beberapa tahun lagi semua dah besar jadi penyangak pula," jelas Mister A.

"Penguatkuasa tolong buat operasi secara besar-besaran di KK ni, jangan hanya buat sekali sahaja, sebab sindiket ini tak akan putus asa," tambah Wan Ariff002.

Rakaman tersebut sudah ditonton lebih 27,000 penonton di TikTok dan semakin hangat diperkatakan sejak Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram